Cadangan kekal harga minyak AS$88 dikaji

Cadangan kekal harga minyak AS$88 dikaji

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Agensi) – Arab Saudi dan Qatar dilaporkan sedang menilai cadangan Venezuela untuk menetapkan harga minyak dunia pada paras AS$88 (RM370) setong sebagai usaha menggalakkan kembali pelaburan dalam sektor minyak dan gas (O&G).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Minyak Venezuela, Eulogio Del Pino di Tehran, Iran petang semalam. Cadangan oleh negara Amerika Selatan itu dibuat pada bulan lepas untuk mengelak harga minyak terlalu ditentukan oleh pasaran selain mahu meningkatkan semula minat pelaburan dalam sektor O&G.

Del Pino berkata, negara-negara pengeksport minyak kini menghadapi cabaran hebat dan menjangka harga minyak boleh turun sehingga AS$20 (RM84) setong selagi Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) tidak melakukan sebarang tindakan bagi menstabilkan pasaran.

Harga minyak yang rendah dan krisis ekonomi Venezuela menyebabkan industri minyak dan gas negara itu terjejas. – Reuters
Harga minyak yang rendah dan krisis ekonomi Venezuela menyebabkan industri minyak dan gas negara itu terjejas. – Reuters

“OPEC tidak boleh membiarkan situasi perang harga berlaku dan tindakan perlu diambil untuk menstabilkan pasaran minyak. Pertubuhan perlu lakukan sesuatu, kami tidak bersetuju dengan pandangan Arab Saudi untuk membiarkan harga minyak ditentukan oleh pasaran,” katanya.

Kerisauan itu timbul ekoran hasrat Iran yang mahu meningkatkan keluaran minyaknya apabila sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negara tersebut bakal ditamatkan.

Menurut Ketua Penganalisis CMC Markets yang berpangkalan di Sydney, Australia, Ric Spooner, sebarang perubahan yang drastik mahu dilaksanakan oleh OPEC perlu diketuai oleh negara utama iaitu Arab Saudi. “Hasrat Iran untuk meningkatkan minyak bukan sesuatu yang mengejutkan, tetapi ia akan memberi impak negatif kepada pasaran,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA