Cadangan lanjutkan masa operasi di sempadan masih dirunding

Cadangan lanjutkan masa operasi di sempadan masih dirunding

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Cadangan melanjutkan waktu operasi di pintu masuk di sempadan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia sehingga 12 malam masih lagi dalam perundingan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman berkata, perkara tersebut melibatkan beberapa buah agensi dan masih lagi menunggu pengesahan daripada pihak atasan.

Menurutnya, jika ada kebenaran daripada pihak atasan, agensi-agensi lain seperti Jabatan Imigresen, pihak Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Biro Kawalan Narkotik dan beberapa buah agensi lain yang terlibat akan duduk sama-sama menyelaraskannya seperti membahagikan masa atau waktu bekerja, serta menunggu perundingan sesama agensi lain dari Malaysia.

Tarikh bagi melanjutkan operasi di pintu masuk sempadan kedua-dua negara itu belum dapat dipastikan lagi, jelas Yang Berhormat Pehin kepada media selepas menyaksikan raptai penuh Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bercemar Duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong di Padang kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong hari ini.

Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib Razak pada Selasa lalu berkata, cadangan melanjutkan waktu operasi di pintu masuk di sempadan Malaysia dan Brunei itu telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Rundingan Pemimpin-pemimpin Tahunan ke-19 di sini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila tarikh pelanjutan waktu operasi di pintu masuk sempadan itu akan mula dikuatkuasakan, tetapi menambah, dari segi (waktu operasi) pintu masuk sekarang, terdapat kesukaran dalam kalangan orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA