Cadangan pembinaan hotel PQPTRW ditelilti

Cadangan pembinaan hotel PQPTRW ditelilti

KOTA BAHARU, 3 Feb – Hasrat Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman untuk membina hotel bertaraf enam bintang bernilai RM280 juta berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV di sini akan diteliti oleh kerajaan Kelantan.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida berkata dalam pertemuannya dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob hari ini, Ahmad bersetuju untuk meneliti cadangannya itu dan akan memberi jawapan dalam masa terdekat.

“Hasil pertemuan tersebut, Menteri Besar secara umumnya menerima cadangan berkenaan. Bila sahaja persetujuan diperolehi, projek tersebut akan kita buat dalam kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan tertutup itu di Pejabat Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Dr. Vida, yang juga penasihat kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), berkata kerajaan negeri akan membuat penelitian terperinci berhubung cadangan itu termasuk kesesuaian lokasi pembinaan hotel memandangkan kawasan tersebut agak sesak.

Katanya pembinaan hotel yang akan dinamakan Hotel Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) itu adalah usaha beliau menjadikan pasukan bola sepak Kelantan lebih maju dari segi kemudahan setanding kelab bola sepak Eropah.

Lakaran gambar Hotel Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) setinggi 19 tingkat berharga RM280 juta yang akan dibina. – Bernama
Lakaran gambar Hotel Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) setinggi 19 tingkat berharga RM280 juta yang akan dibina. – Bernama

Akhbar hari ini melaporkan hotel 19 tingkat yang akan dibina di tanah seluas 0.7 hektar berhampiran papan skor elektronik stadium negeri itu bakal memberi wajah baharu kepada Kelantan. Hotel yang berkonsepkan Islamik kontemporari itu turut dilengkapi kompleks sukan yang menyediakan kemudahan permainan boling, tenis dan golf selain masjid serta kafe.

Dr. Vida berkata hotel tersebut juga memberi peluang kepada mereka yang menginap di hotel terutama peminat bola sepak Kelantan untuk menyaksikan perlawanan terus dari bilik.

“Hotel ini juga secara tidak langsung akan menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan,” katanya. – Bernama