CAEXPO ke-12 buka tirai

CAEXPO ke-12 buka tirai

Oleh Achong Tanjong

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Ekspo China-ASEAN ke-12 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CAEXPO) ke-12 membuka tirainya hari ini di Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Nanning (NICEC), China.

Turut serta merasmikan acara berkenaan bersama ketua-ketua negara China dan ASEAN lain ialah Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Delegasi Yang Berhormat Pehin ke acara berkenaan turut disertai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin (Dr.) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri para pegawai dari KPPSU dan Persatuan Persahabatan Brunei-China serta Duta Besar Brunei Darussalam ke China, Puan Yang Terutama Datin Paduka Magdalene Teo Chee Siong.

Selepas majlis perasmian berkenaan, Yang Berhormat Pehin dan delegasi turut berpeluang meninjau pavilion-pavilion negara yang ikut serta termasuk pavilion Brunei Darussalam yang mempamerkan pelancongan unik dan warisan kebudayaan Brunei, yang mana produk-produk buatan Brunei turut mendapat perhatian semasa ekspo berkenaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Yahya dan delegasi negara yang menghadiri CAEXPO ke-12 di Nanning, China.
Yang Berhormat Pehin Haji Yahya dan delegasi negara yang menghadiri CAEXPO ke-12 di Nanning, China.

Pavilion Brunei Darussalam disertai oleh empat peserta iaitu Inuyham Enterprise yang mengetengahkan kayu gaharu Brunei, Betye Kuan, ASLI KTM Sdn. Bhd yang mempamerkan produk Brumee, Hasmit Sheild Roofing Manufacture dan Koridor Inovasi Brunei (BIC), yang menarik perhatian ramai dan memberikan respons positif terhadap produk-produk yang dipamerkan.

Salah seorang kakitangan Asli KTM Sdn Bhd berkata, respons orang ramai terutamanya pelanggan China terhadap produk-produk mereka sangat menggalakkan.

CAEXPO bukan sahaja sebagai platform kerjasama China-ASEAN malahan ia juga acara perdagangan besar-besaran yang dibukakan kepada seluruh dunia.

Ekspo itu telah mempromosikan pertukaran dan kerjasama China dan ASEAN dengan ekonomi-ekonomi lain serta meningkatkan pengaruh China dan ASEAN di dunia, batu loncatan ke pasaran dunia yang besar dan peluang-peluang perniagaan yang meluas di luar rantau China-ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA