CAF hadkan penggal presiden

CAF hadkan penggal presiden

JOHANNESBURG, 4 Okt – Presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) dihadkan kepada tiga penggal bagi tempoh empat tahun dan akan berkuat kuasa selepas pilihan raya 2017, pertubuhan itu mengesahkan semalam.

Sebelum ini tidak ada had untuk jawatan itu dengan Issa Hayatou telah menerajui pertubuhan Afrika sejak 1988. Presiden dari Camerron berusia 70 tahun itu tidak menyatakan sama ada dia akan bertanding bagi pemilihan semula, tetapi dijangka akan mengekalkan jawatannya jika dia mahu.

Hayatou yang mengetuai selama 28 tahun adalah bos CAF paling lama berkhidmat. Yidnekatchew Tessema dari Habsyah pula telah menerajui CAF selama 16 tahun dari 1972.

Jurucakap CAF, Junior Binyam memberitahu AFP perubahan itu diumumkan ketika perhimpunan agung tergempar di Kaherah agar pertubuhan Afrika itu sejajar dengan badan induk dunia FIFA. Tiga penggal itu juga terpakai untuk ahli-ahli jawatankuasa eksekutif CAF.

Delegasi perhimpunan mengundi 32-16 menentang langkah Djibouti bahawa calon presiden CAF seharusnya tidak dihadkan kepada ahli jawatankuasa eksekutif.

Naib presiden kedua CAF, Almamy Kabele Camara dari Guinea dan ahli jawatankuasa eksekutif Kwesi Nyantakyi dari Ghana diundi dalam Majlis FIFA (bekas jawatankuasa eksekutif).

Camara menerima 37 undian dan Nyantakyi 31 untuk mengisi dua kekosongan dengan ahli jawatankuasa eksekutif, Ahmad, nama perseorangan Malagasy, mendapat 30 undian. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA