Cagliari curi satu mata Roma

Cagliari curi satu mata Roma

MILAN, 29 Ogos – Marco Sau meledak gol penyamaan minit akhir untuk pendatang baharu Serie A, Cagliari yang menyaksikan mereka bangkit untuk mengikat Roma 2-2 dan memberikan cabaran sengit kepada pasukan Giallorossi.

Genoa pula meraih kemenangan 3-1 ke atas satu lagi pendatang baharu, Crotone dengan rekrut baharu Itali, Luca Pavoletti meledak dua gol untuk mereka mengutip enam mata maksimum menyertai juara, Juventus, Sampdoria serta Sassuolo.

Anak buah Luciano Spaletti itu hanya memerlukan enam minit untuk memecah kebuntuan menerusi Diego Perotti yang menyempurnakan sepakan penalti selepas Mauricio Isla menjatuhkan Stephen El Shaarawy di dalam kotak penalty.

Gol kedua Roma hadir pada babak kedua selepas Kevin Strootman yang kembali daripada kecederaan panjang musim lalu meledak gol untuk mereka selesa dengan 2-0.

Namun Marco Borriello merapatkan jurang selepas sejam perlawanan berlangsung dan minit akhir perlawanan menyaksikan tindakan Wojciech Szczesny yang meluru keluar dihukum Sau yang mudah melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol Poland itu, sekali gus mengikat kedudukan 2-2. – AFP