Cagliari gaga...

Cagliari gagal kekang Higuain

MILAN, 13 Feb – Gonzalo Higuain telah menjaringkan dua gol untuk berkongsi kedudukan dalam senarai penjaring terbanyak Serie A dengan Edin Dzeko ketika Juventus mengekalkan jurang kepada tujuh mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Cagliari, yang beraksi dengan 10 pemain dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.

Gol Higuain yang ke-17 dan 18 dalam saingan liga musim ini bermakna penyerang Argentina itu kini berkongsi kedudukan bersama penyerang sensasi Roma, Dzeko, yang gagal menyempurnakan sepakan penalti namun menebus semula dengan jaringan kedua Roma ketika mereka meraih kemenangan 2-0 di Crotone.

Juventus, merekodkan kemenangan ke-20 mereka dalam 24 perlawanan, kekal di puncak Serie A dengan kelebihan tujuh mata di depan Roma. Tempat ketiga Napoli yang ketinggalan sembilan mata di belakang gergasi Turin, menjelang aksi penting menentang Real Madrid dalam peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara, Khamis ini.

Juventus tidak terbabit dalam aksi Eropah sehingga mereka berkunjung ke Porto pada 22 Februari ini dan barisan Massimiliano Allegri mengambil peluang itu dengan mengukuhkan kedudukan mereka untuk memburu rekod kejuaraan keenam berturut-turut.Di sebalik kelebihan beraksi dengan seorang pemain selepas Nicolo Barella dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-67, Higuain berkata ia bukan semudah yang dilihat.

Pemain penyerang Juventus, Gonzalo Higuain (kiri) mengawal bola sambil diperhatikan oleh pemain Cagliari, Bruno Alves dalam perlawanan menentang Cagliari dalam aksi Serie A. – AFP
Pemain penyerang Juventus, Gonzalo Higuain (kiri) mengawal bola sambil diperhatikan oleh pemain Cagliari, Bruno Alves dalam perlawanan menentang Cagliari dalam aksi Serie A. – AFP

“Kami bermain dengan baik, tetapi ia adalah satu perlawanan yang sukar kerana kami gagal menemui rentak pada awal permainan.

Namun segala-galanya berjalan lancar selepas kami memecah kebuntuan,” kata Higuain kepada Premium Sport.

Allegri, yang sebelum ini mengendalikan Cagliari sebelum berpindah ke AC Milan dan kemudian membawa mereka menjulang kejuaraan pada 2011, telah mengendalikan Juventus buat kali ke-100 dalam liga. Dia juga kekal dalam menggunakan sistem 4-2-3-1 yang baru-baru ini menggantikan formasi 3-5-2. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA