Cagliari kacau kepulangan Pogba, pesta Juventus

Cagliari kacau kepulangan Pogba, pesta Juventus

ROM, 10 Mei (AFP) – Cagilari telah merosakkan sambutan gelaran Juventus di tempat sendiri dan jaringan gol Paul Pogba selepas dua bulan tidak beraksi, dengan mencipta gol penyamaan di saat-saat akhir untuk terus menghidupkan harapan bertahan mereka yang tipis dalam kancah Serie A.

Pemain pertahanan Luca Rossettini mencipta gol lima minit sebelum permainan tamat di Turin, dengan menyerkap pantulan dari tiang gol dari tandukannya sendiri untuk menidakkan gol pembukaan Pogba selepas 45 minit perlawanan bermula.

Keputusan itu merapatkan jurang antara Cagliari yang berada pada kedudukan ketiga dari bawah dan Atalanta, yang akan bertandang ke Palermo hari ini, dengan lima mata.

Pemain tengah dari Perancis, Pogba tidak beraksi sejak mengalami kecederaan pada otot paha ketika kemenangan ke atas Juventus ke atas Borrusia Dortmund dengan 3-0 pada 18 Mac lalu, tetapi tidak menunjukkan kekaratan setelah kembali beraksi.

Dia menjaringkan gol sebelum separuh masa kedua dengan tendangan dari jarak jauh yang menumpaskan pemain pertahanan Cagliari, Luca Ceppitelli. Pemain berusia 22 tahun itu menerima tepuk sanjungan apabila dia digantikan.

Penyerang Juventus, Paul Pogba dicabar pemain Cagliari, Balzano dalam aksi Serie A di Turin semalam. – Reuters
Penyerang Juventus, Paul Pogba dicabar pemain Cagliari, Balzano dalam aksi Serie A di Turin semalam. – Reuters

Bagaimanapun jurulatih Massimiliano Allegri berkata dia teragak-agak sama ada Pogba akan mula menentang Real Madrid pada hari Rabu, apabila Juve akan cuba mempertahankan pendahuluan pusingan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara yang telah mencatatkan kemenangan 2-1.

“Saya akan menilai situasi antara kini dan hari Rabu, tetapi saya telah melihat dalam latihan bahawa dia dalam keadaan fizikal yang baik. Dia pemain muda dan dia dalam keadaan memuaskan,” kata Allegri.

“Kami menyedari bahawa permainan menentang Madrid akan sukar kerana mereka mempunyai pemain yang memiliki teknik hebat dan kami akan terpaksa bermain lebih banyak serangan. Kami perlu mencipta jaringan gol, kerana jika tidak, akan benar-benar sukar untuk kami meneruskan perjuangan.”

Prestasi bersahaja Pogba juga satu peringatan mengapa kelab-kelab hebat Eropah berebut-rebut untuk mengikat kontrak dengannya meskipun ketua eksekutif Juventus Giuseppe Marotta menegaskan kelab berhasrat untuk menggunakan khidmat bintang yang semakin meningkat naik itu.