Cahill pimpin skuad Piala Dunia Socceroo

Cahill pimpin skuad Piala Dunia Socceroo

SYDNEY, 17 Ogos – Jurulatih Ange Postecoglou memilih pemain yang berpangkalan di luar negara untuk menganggotai skuad kelayakan Piala Dunia Australia, dan hanya memilih Tim Cahill sahaja sebagai pemain veteran berpengalaman dari Liga-A.

Australia, juara bertahan Piala Asia menghadapi Iraq di Perth pada 1 September sebelum menentang UAE di Abu Dhabi pada 6 September untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 Rusia.

Postecoglou berkata beliau mahu memberi tumpuan kepada prestasi dan kecergasan skuad apabila memilih pasukan walaupun musim Eropah dan China – di mana kebanyakan skuadnya beraksi – sudah bermula, dengan musim Liga-A akan bermula pada bulan Oktober.

“Ia amat penting apabila melihat permainan kami tahun lepas pada September dan Oktober kerana pemain yang datang kurang persediaan benar-benar bergelut untuk beraksi,” Postecoglou memberitahu pemberita di Sydney.

Hanya Cahill anggota veteran dan ber-pengalaman ditampilkan dalam skuad kelayakan Soceroo. – AFP
Hanya Cahill anggota veteran dan ber-pengalaman ditampilkan dalam skuad kelayakan Soceroo. – AFP

“Apabila kami datang dengan skuad ini, kami mungkin hanya mengambil risiko mungkin dengan beberapa pemain, mungkin Timmy (Cahill) dan Mark Milligan, yang benar-benar belum bermain bola sepak kompetitif lagi … tetapi mereka mampu menghadapi apa yang kita lakukan,” katanya sambil menambah semua pemainnya sudah meraih kap.

Postecoglou berkata beliau tidak bimbang mengenai kecergasan Cahill, penjaring terbanyak di Australia, yang belum lagi beraksi sejak meninggalkan kelab Liga Super China Hangzhou Greentown bulan lepas.

“Beliau belum lagi lama menggantung but,” kata Postecoglou tentang pemain berusia 36 tahun itu yang menyertai Melbourne City minggu lepas.

“Dia hanya kurang beraksi tetapi dia dalam keadaan yang baik dan kami akan menilai beliau sejak beberapa minggu akan datang dengan latihan di City dan jika dia cukup cergas dan bagus, dia akan datang. Postecoglou berkata beliau menjangka proses kelayakan menjadi sukar tetapi dia selesa dengan persiapan skuad. – AFP