Caj pelabuhan dikurangkan

Caj pelabuhan dikurangkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan Pelabuhan Muara agar terus berdaya saing dengan pelabuhan sub-serantau di rantau BIMP-EAGA, Jabatan Pelabuhan akan mengurangkan caj import dan eksport kontena sebanyak 36 peratus berkuat kuasa 1 Ogos 2016 ini.

Selain pengurangan caj, Jabatan Pelabuhan juga melanjutkan tempoh penyimpanan percuma untuk semua kontena import dan eksport. Lanjutan dari dua hingga lima hari dijangka berpotensi menjimatkan kos

simpanan untuk penerima dan pengirim barangan bagi membolehkan masa yang mencukupi untuk pemprosesan kelulusan permit.

Jabatan Pelabuhan akan terus memastikan pergerakan kontena kekal lancar dan pengurangan caj dijangka mengurangkan kos logistik keseluruhan dan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan dari segi kos pengendalian di Terminal Kontena Muara.

Inisiatif ini selaras dengan Inisiatif Memudahkan Perniagaan di bawah Perdagangan Rentas Sempadan khususnya dalam menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini dan juga sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan industri tempatan dengan mengurangkan kos logistik.

Jabatan Pelabuhan juga menjangkakan kadar yang lebih rendah akan menarik lebih banyak kargo dan kapal ke Pelabuhan Muara dan seterusnya meningkatkan perhubungan di rantau ini.

Inisiatif ini dijangka menarik minat pihak berkepentingan yang lain dalam sektor logistik dengan mengurangkan caj masing-masing seperti perkapalan, penghantaran dan caj pengangkutan. Untuk itu, ejen berkenaan diingatkan supaya tidak memanipulasi caj-caj pelabuhan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Kementerian Perhubungan di www.mincom.gov.bn; laman sesawang Jabatan Pelabuhan di www.ports.gov.bn; laman sesawang Perniagaan Rentas Sempadan di www.tradingacrossborders.gov.bn dan www.business.gov.bn.

Orang ramai boleh mengemukakan pertanyaan kepada info@ports.gov.bn di laman sesawang Jabatan Pelabuhan atau menghubungi Talian Darussalam 123 atau 2770222. Selain itu, orang ramai juga boleh meneruskan menghubungi Pusat Sokongan Perniagaan, EIDPMO di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa.