Caj perkhidmatan KLIA, KLIA2 perlu selaras

Caj perkhidmatan KLIA, KLIA2 perlu selaras

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Caj perkhidmatan penumpang sewajarnya sama antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 memandangkan perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan oleh kedua-dua terminal itu setanding, selain berkongsi landasan terbang yang sama.

Kedua-duanya juga disokong oleh pemindahan lapangan terbang yang pantas dalam bentuk Express Rail Link (ERL), kata Andrew Herdman, Ketua Pengarah Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA), di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-duanya merupakan terminal moden dan canggih, dengan kemudahan lapangan terbang yang mewah, dengan klia2 dilengkapi jambatan udara yang sangat besar, sistem pengendalian bagasi yang canggih selain premis runcit, makanan dan minuman yang maju.

Menerusi persamaan dan standard perkhidmatan, “tidak sepatutnya berlaku perbezaan caj,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata perbezaan RM33 bagi caj perkhidmatan penumpang (PSC) antara KLIA dan klia2 disebabkan oleh caj paras rendah yang dipersetujui semasa AirAsia mula menggunakan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) sebelum pembinaan klia2.

Andrew Herdman, Ketua Pengarah Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA). – Bernama
Andrew Herdman, Ketua Pengarah Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA). – Bernama

LCCT dibuka pada Mac 2006 dan menamatkan operasi selepas klia2 memulakan operasi pada Mei 2014.

“Ketika itu, wujud perbezaan yang sangat besar dalam tahap perkhidmatan yang disediakan antara KLIA dan LCCT, dan sebaik sahaja klia2 siap, jelas ia merupakan terminal moden yang menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan KLIA,” katanya.

Kerajaan (Malaysia) memperakuinya ketika klia2 dibuka, namun berkata ia akan mengekalkan perbezaan harga dan akan menyemak semula kemudian.

“Kini ia di peringkat semakan semula oleh kerajaan dan mengumpul maklumat.

Beliau juga berkata anggota AAPA juga tidak bersetuju dengan perbezaan caj terbabit dan jelas menyebutnya dalam surat kepada kerajaan semasa klia2 dibuka.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang berpejabat di Geneva dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berkongsi pandangan yang sama, atas alasan bahawa caj perkhidmatan sewajarnya berkaitan kos dan tidak berdiskriminasi.

“Tidak seperti Heathrow, Stansted dan Luton, yang merupakan lapangan terbang di lokasi lain dan bebas, dan menawarkan perkhidmatan yang berbeza, di Sepang, kita membincangkan terminal berbeza namun di lapangan terbang yang sama,” katanya.

Akhirnya semua pihak bimbang mengenai kos dan memastikan perjalanan udara yang mampu ditanggung.

“Penerbangan merupakan industri yang baik, ia menjana pekerjaan dan menyokong perjalanan dan pelancongan, meningkatkan penyepaduan serantau dan menghubungkan dunia.

“Kami semua berminat dan mahukan kemudahan lapangan terbang yang menawarkan kecekapan kos serta operasi yang lancar.

Beliau berkata kerajaan perlu membuat keputusan ” yang adil dan munasabah.”

“Secara keseluruhannya, syarikat penerbangan dan lapangan terbang merupakan rakan kongsi yang mempunyai objektif yang sama, oleh itu kami sangat berminat untuk memperoleh penyelesaian yang adil,” katanya.

“Kami perlu adil kepada penumpang, yang juga boleh memilih penawaran yang terbaik,” kata Herdman. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA