Calon bos FIFA utamakan hak asasi

Calon bos FIFA utamakan hak asasi

HOOFDDORP, Belanda, 23 Okt (Agensi) – Kesatuan pemain bola sepak antarabangsa (FIFPro) menggesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) supaya menghalang kemasukan calon bagi presiden badan induk bola sepak dunia itu daripada kalangan mereka yang mempunyai rekod buruk mengenai hak asasi manusia.

Gesaan FIFPro itu dibuat ketika pemimpin bola sepak Asia Sheik Salman bin Ibrahim Al Khalifa menimbang untuk turut bertanding jawatan presiden menjelang tempoh akhir pendaftaran pada Isnin depan.

Selaku presiden persekutuan bola sepak Bahrain pada 2011, Sheikh Salman dikatakan gagal melindungi para pemain pasukan kebangsaan yang diberkas ketika bantahan pro-demokrasi manakala sebahagian pemain pula mendakwa mereka diseksa.

FIFPro, yang tidak menamakan Sheikh Salman, berkata para calon “perlu menunjukkan mempunyai asas kemanusiaan, keadilan serta nilai-nilai demokratik.”

Mereka yang tidak dapat melaksanakannya “perlu dikeluarkan daripada proses berkenaan tanpa tertangguh lagi,” kata FIFPro.

Para bakal calon presiden perlu lulus pemeriksaan integriti yang dipantau oleh jawatankuasa pemilihan FIFA sebelum diterima untuk bertanding.