Calon Kasut Emas Euro 2016

Calon Kasut Emas Euro 2016

SAINT-DENIS, 5 Julai – Terlalu kecil, lemah dan tiada masa depan dalam bola sepak Perancis. Antoine Griezmann bagaimanapun menutup mulut pengkritik dengan muncul penjaring terbanyak Euro 2016 setakat ini, sekali gus meletakkannya sebagai calon utama anugerah Kasut Emas.

Harapan Perancis untuk muncul juara Eropah selepas kali terakhir mendakapnya pada 2000 kian cerah apabila rentak penyerang berketinggian 1.76 meter (5 kaki 9 inci), Griezmann semakin menyerlah dengan meledak empat gol dalam lima perlawanan.

Pemain berusia 25 tahun itu meledak gol cantik, selain merancang dua lagi jaringan untuk tuan rumah menumbangkan pasukan kerdil Iceland 5-2 hari ini, sekali gus menempah tiket separuh akhir menentang Jerman.

“Ia sesuatu yang bagus jika dia memenangi anugerah penjaring terbanyak kejohanan. Dia seorang pemain efisien dan memiliki teknikal yang cemerlang.

“Kami memerlukannya dalam barisan Perancis pada separuh akhir,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Payet mencium kasut Griezmann selepas rakannya itu menjaringkan gol semasa menentang Iceland Ahad lalu. - AFP
Payet mencium kasut Griezmann selepas rakannya itu menjaringkan gol semasa menentang Iceland Ahad lalu. – AFP

Griezmann pada awalnya sukar mencipta nama dalam skuad Les Blues, selepas ditolak oleh beberapa kelab di Perancis ekoran saiz badannya yang kecil ketika di zaman remaja.

Dia akhirnya membawa diri ke Sepanyol untuk menyertai Real Sociedad pada 2008.

Sudah tentu Lyon dan beberapa kelab Perancis lain sedang menggigit jari, malah kelabnya sekarang, Atletico Madrid yang juga naib juara Liga Juara-Juara berusaha untuk mengekalkannya.

Selain Griezmann, rakan senegaranya, Dimitri Payet dan bintang Wales, Gareth Bale juga berada dalam senarai calon Kasut Emas, masing-masing mengumpul tiga gol.

Perancis turut menampilkan Olivier Giroud sebagai calon penjaring terbanyak selepas penyerang Arsenal itu berkongsi dua gol bersama kapten Portugal, Cristiano Ronaldo.

Penyerang Jerman, Mario Gomez yang mengumpul dua gol terkeluar daripada saingan selepas tidak dapat beraksi sehingga tamat kejohanan akibat kecederaan. – Agensi