Calon Presiden FIFA Diajak Debat

Calon Presiden FIFA Diajak Debat

MIAMI, 30 Dis – Rangkaian televisyen sukan terkemuka, ESPN menjemput lima calon presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengambil bahagian dalam debat membicarakan masa depan badan induk itu yang ketika ini dipalit krisis rasuah.

Lima calon terbabit ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan, Putera Ali bin al-Hussein; Sheikh Salman bin Ebrahim al-Khalifa (Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia); Tokyo Sexwale (bekas menteri Afrika Selatan); Gianni Infantino (Setiausaha Agung UEFA) dan Jerome Champagne (bekas eksekutif FIFA)

“ESPN sudah menjemput kesemua lima calon yang bertanding bagi presiden FIFA untuk mengambil bahagian dalam debat ini,” kata jurucakap rangkaian sukan itu kepada Reuters, semalam.

Majlis undian bagi memilih presiden baharu FIFA dijadualkan pada 26 Februari depan di Zurich dalam satu kongres istimewa.

Sepp Blatter yang juga presiden badan induk itu sejak 1998 digantung selama lapan tahun daripada bola sepak oleh Jawatankuasa Etika FIFA dengan organisasi terbabit ketika ini dipimpin presiden sementara, Issa Hayatou dari Cameroon.

Putera Ali. - Reuters
Putera Ali. – Reuters
Sheikh Salman. - Reuters
Sheikh Salman. – Reuters
Tokyo Sexwale. - Reuters
Tokyo Sexwale. – Reuters
Gianni Infantino. - Reuters
Gianni Infantino. – Reuters
Jerome Champagne. - Reuters
Jerome Champagne. – Reuters

Champagne memberitahu laman sesawang ‘Sporting Intelligence’ bahawa debat ESPN akan diadakan di London pada 29 Januari.

Bekas timbalan setiausaha agung FIFA Champagne juga memberitahu Reuters dia bersetuju untuk turut serta dan sekian lama menantikan perbincangan seumpamanya.

Debat pilihan raya presiden FIFA sebelum ini belum pernah disiarkan di televisyen.

Penyiar British BBC dan Sky membuat cadangan yang sama sebelum undian Mei lepas namun Blatter, yang memenangi pilihan raya tersebut menolak pelawaan itu.

Reuters menghubungi jurucakap presiden FA Jordan Prince Ali, setiausaha agung UEFA Infantino, Presiden Pertubuhan Bola sepak Asia (AFC) Sheikh Salman dan ahli politik Afrika Selatan dan usahawan Sexwale namun tiada di antaranya memberikan respons untuk memberikan sebarang komen. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA