Cambiasso tolak kontrak baru bersama Leicester City

Cambiasso tolak kontrak baru bersama Leicester City

LONDON, 23 Julai – Esteban Cambiasso menolak tawaran kontrak baru bersama Leicester City dan tidak akan kembali ke kelab Liga Perdana itu, ujar bekas pemain kebangsaan Argentina itu semalam.

Cambiasso, 34, menyertai Leicester Ogos lalu menerusi kontrak jangka pendek yang kini sudah tamat.

Dia membantu mereka mengelakkan diri turun ke divisyen dua bagi kempen tunggalnya bersama kelab Midlands itu.

“Saya memutuskan tidak akan membaharui kontrak saya bersama Leicester City,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

“Saya membuat keputusan ini hanya 24 jam selepas menerima proposal dari Leicester kerana saya mahu memberikan kelab masa secukup mungkin untuk mencari alternatif.”

Cambiasso adalah pemain terbaik kelab itu musim lalu selepas melakukan 33 penampilan dan menjaringkan lima gol.

Pemain tengah itu menyertai Leicester selepas menghabiskan 10 tahun di Inter Milan yang mana dia menang lima kejuaraan Serie A dan Liga Juara-Juara.

Dia memulakan kariernya di Independiente sebelum beraksi di River Plate dan Real Madrid. – Reuters