Cameron letak jawatan Parlimen

Cameron letak jawatan Parlimen

LONDON, 13 Sept – Bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron, mengumumkan peletakan jawatannya dalam Parlimen, sekali gus menamatkan kerjaya politiknya. Beliau yang jarang dilihat kelibatnya sejak meninggalkan Downing Street, Julai lalu, membuat pengumuman mengejut semalam.

Ia bakal mencetuskan satu pilihan raya kecil di daerah Witney, Oxfordshire, antara kerusi selamat Parti Konservatif selama beberapa dekad.

Cameron, 49, menang dalam pilihan raya umum pada 2015, tetapi tuahnya dalam bidang politik berubah sekelip mata apabila pengundi British menolak rayuannya dan mengambil keputusan untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Susulan itu, beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, keesokan harinya tetapi merancang untuk kekal sebagai Ahli Parlimen. Semalam, beliau berpendapat adalah lebih wajar untuk meninggalkan jawatan sebagai penjawat awam sekali gus.

Gambar fail bertarikh 13 Julai 2016 menunjukkan David Cameron berucap semasa sidang media di 10 Downing Street, di London,  selepas beliau secara rasmi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. – AP
Gambar fail bertarikh 13 Julai 2016 menunjukkan David Cameron berucap semasa sidang media di 10 Downing Street, di London, selepas beliau secara rasmi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. – AP

“Pada pemerhatian saya, peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan realiti politik moden menjadikan agak sukar untuk saya meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen tanpa risiko berdepan keputusan penting yang bakal dibuat pengganti saya di Downing Street dan kerajaan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu juga melahirkan sokongannya terhadap Theresa May, yang menggantikan tempatnya.

Cameron belum mengumumkan rancangan masa depannya. Beliau menjadi pemimpin parti pada tahun 2005 dan menjadi Perdana Menteri pada tahun 2010, apabila beliau mengetuai kerajaan campuran termasuk Demokrat Liberal. – AP