‘Candas Punan’ tarik perhatian

‘Candas Punan’ tarik perhatian

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Karnival Hari Keluarga 2016 anjuran Majlis Perundingan Mukim Kilanas dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di The Airport Mall, Berakas sejak 7 September berakhir hari ini dengan sambutan yang menggalakkan.

Antara yang menarik perhatian ramai dalam karnival berkenaan adalah jualan pelbagai produk kraf tangan seperti ‘Candas Punan’ yang dipromosikan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bebuloh.

Ahli Biro Ekonomi MPK Bebuloh, Dayang Asmah Alas berkata, ‘Candas Punan’ merupakan produk terkini yang mereka hasilkan dan menurutnya, sambutan orang ramai terhadap produk ini ini memang menggalakkan, lebih-lebih lagi ia merupakan barang baru selain mengetahui faedah yang diperolehi daripada alat berkenaan.

Menurutnya, idea untuk mengkomersialkan ‘Candas Punan’ ini muncul setelah melihat keunikannya di samping ia merupakan alat untuk menjamu makanan tradisi Brunei iaitu ‘ambuyat’.

Di samping itu, menggunakan ‘candas’ atau garpu semasa menikmati hidangan ‘ambuyat’, ‘Candas Punan’ ini juga tidak kurang menarik dan mudah untuk digunakan.

Dayang Asmah semasa ditemui di karnival itu.
Dayang Asmah semasa ditemui di karnival itu.
‘Candas Punan’ menjadi tarikan ketika Karnival Hari Keluarga 2016 yang berakhir kelmarin.
‘Candas Punan’ menjadi tarikan ketika Karnival Hari Keluarga 2016 yang berakhir kelmarin.

Setelah melihat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai terhadap ‘Candas Punan’ ini, MPK Bebuloh mengambil inisiatif untuk memasarkan sekali gus memperlihatkan keunikan dan keistimewaan bagi sesebuah puak dan bangsa yang terdapat di negara ini.

Ketika mengulas lanjut mengenai ‘Candas Punan’ ini, beliau berkata ia berasal daripada puak Punan, yang mana untuk menghasilkannya, kayu khusus digunakan bagi memudahkan penghasilannya.

Selain ‘candas punan’, MPK Bebuloh turut menjual kraf tangan seperti bakul, ‘tekiding’ dan beberapa kraf tangan yang lain.

Bercakap mengenai karnival tersebut, beliau berkata, sambutan pengunjung ke karnival berkenaan amat menggalakkan.

Sementara itu, salah seorang pengunjung yang sempat ditemui, Haji Mat Derus bin Kamis, 47, pula berkata, karnival berkenaan dapat membuka minda generasi muda untuk menceburi bidang kraf tangan terutama kraf tangan Brunei.

“Dalam era kemodenan ini, generasi muda banyak yang tidak mengetahui cara penghasilan kraf terutama bagi pembuatan ‘tekiding’, ‘bayung’, ‘niru’ dan banyak lagi,” tambahnya.

Menurutnya lagi, kebanyakan orang yang menghasilkan kraf tangan ini mereka yang berumur 45 tahun ke atas dan penglibatan belia dalam bidang ini jarang dilihat.

Jika dilihat, berniaga barangan kraf tangan ini merupakan bidang yang memerlukan kesabaran dan ketekunan bagi seseorang yang menginginkan untuk menjadikan ia sebagai satu perniagaan.

Ini kerana, tambah beliau, menjual barangan kraf ini tidak selaris jualan barangan lain seperti makanan di mana pelanggan berpusu-pusu berkunjung mendapatkan barangan setiap hari.

“Berbeza dengan kraf, kerana ia berlaku secara bermusim iaitu jika ada permintaan pelanggan, musim kedatangan pelancong dan juga musim tamu berkala tapi kadar jualan dan pendapatan akan lumayan jika mendapat tempahan dan belian yang banyak,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA