Canon kurangkan ramalan keuntungan tahunan

Canon kurangkan ramalan keuntungan tahunan

TOKYO, 26 Julai – Canon merubah ramalan keuntungan tahunannya hari ini ketika pembuat kamera dan pencetak itu memberi amaran bahawa peningkatan dalam mata wang yen telah menjejaskan hasil jualan.

Syarikat itu berkata ia kini menjangkakan jualan lembap dan keuntungan bersih sekitar 180 bilion yen (AS$1.7 bilion) tahun ini, menurun 10 peratus daripada ramalan sebelumnya yang juga diturunkan disebabkan pertumbuhan perlahan di China dan kenaikan dalam mata wang Jepun.

Keuntungan bersih terbaru enam bulan hingga Jun Canon jatuh 20 peratus kepada 81.4 bilion yen, sementara keuntungan operasi jatuh hampir 37 peratus dari setahun yang lalu.

Jualan jatuh hampir 10 peratus kepada 1.66 trilion yen bagi tempoh setengah tahun, menurutnya.

Canon mengurangkan sasaran setahun penuhnya disebabkan oleh ‘kelembapan ekonomi yang berterusan di negara-negara membangun, di samping impak negatif ke atas penilaian semula anggapan kadar pertukaran asing berhubung jualan dan keuntungan kasar. – AFP