Capai hasrat perenang ke tahap kompetitif

Capai hasrat perenang ke tahap kompetitif

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Pembinaan litar renang pendek di Sekolah Antarabangsa Brunei membuka lembaran baru dalam arena sukan air di negara ini, di mana sebelum ini kejohanan kerap kali diadakan di Kompleks Sukan Air Daerah Tutong yang berukuran 100 Meter.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Sukan Air Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Eric Landa yang kemudiannya menegaskan bahawa litar renang pendek sememangnya kurang popular di negara Asia tenggara.

“Dengan adanya litar pendek 25 meter yang diiktiraf di ISB ini, ia akan mampu menarik minat lebih banyak kejohanan dan penganjuran di peringkat kebangsaan dalam kalangan persatuan-persatuan dan kelab-kelab renang tempatan dan di rantau ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, tahun lalu sahaja penganjuran kejohanan renang daripada persatuan-persatuan kurang memberangsangkan dan berharap dengan adanya kolam baru tersebut, ianya akan membawa kejohanan sukan tersebut ke satu tahap yang baru.

“Jika kamu berenang lebih pantas pasti kamu akan berjaya meraih pingat. Renangan dan pecutan di litar pendek sememangnya lebih mencabar dan lebih pantas berbanding litar biasa sebagai contoh perenang bolah sahaja memecut sepantas 28 saat dalam acara 50 meter di litar pendek,” tegasnya lagi.

Suasana di Litar Pendek Kolam Renang ISB yang baru di perkenalkan itu.
Suasana di Litar Pendek Kolam Renang ISB yang baru di perkenalkan itu.

Ketika ditemui, beliau juga menyatakan bahawa para perenang mungkin sahaja akan mencapai masa berkenaan kerana litar yang singkat ini akan memberikan motivasi baru kepada perenang untuk lebih pantas dan sekali gus memberikan ruang mereka untuk memperbaiki masa masing-masing.

“Tinggal lagi perenang sendiri untuk sentiasa fokus dalam penyertaan masing-masing untuk mencapai ke tahap yang dihasratkan dalam kejohanan renang domestik dan ia bukan lagi suatu yang sukar untuk dicapai bagi setiap perenang,” katanya memberitahu Media Permata.

Namun begitu, menurutnya para perenang mungkin sahaja akan berasa tertekan dan mudah menyimpan rasa ia adalah suatu yang sukar tetapi ia hanyalah ilusi kerana mereka sering membandingkan masa dan jarak berdasarkan jarak kolam renang yang panjang sebelum ini.

Di akhir perbualan, beliau juga menegaskan tahun 2016 ini akan terdapat beberapa acara serantau dan antarabangsa termasuk Kejohanan Renang Asia Tenggara di Hanoi, Vietnam dan Kejohanan Litar Pendek FINA Dunia di Kanada pada bulan Disember.

ARTIKEL YANG SAMA