Capai kualiti piawaian bertaraf global

Capai kualiti piawaian bertaraf global

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Bersempena dengan Sambutan Hari Kualiti Sedunia (World Quality Day) yang diadakan setiap bulan November, Syarikat Millenniya Management Consultancy telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Kualiti Sedunia di ibu pejabatnya, Gadong, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Presiden Persatuan India Bandar Seri Begawan (BSBIA), Dr Sundara Pandy. Turut hadir ialah Perunding Pengurusan Utama, Millenniya Management Consultancy, Bastine Paul.

Bastine Paul dalam ucapannya berkata, majlis tersebut bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai dengan kepentingan pematuhan kepada penilaian standard global oleh syarikat-syarikat agar mereka bersaing secara agresif di arena antarabangsa.

Menurutnya, kualiti adalah ciri ekonomi yang maju dan oleh itu standard saintifik yang diiktiraf di peringkat global perlu dipatuhi oleh negara-negara yang membangun agar dapat meraih kejayaan dalam persekitaran global.

“Tema sambutan tahun ini ‘Making Operational Governance Count’, telah menonjolkan kepentingan tadbir urus, jaminan, peningkatan, kepimpinan dan konteks untuk memastikan kecemerlangan operasi bagi mana-mana organisasi.”

Dr. Sundara Pandy (tiga kiri) dan Bastine Paul (tiga kanan) ketika bergambar ramai bersama para jemputan yang hadir.
Dr. Sundara Pandy (tiga kiri) dan Bastine Paul (tiga kanan) ketika bergambar ramai bersama para jemputan yang hadir.

Beliau menyatakan cara untuk mencapai kecemerlangan ini ialah melalui ISO 9001: 2015 pensijilan pengurusan kualiti yang menambah nilai kepada produk dan perkhidmatan dan tema ini sangat relevan kepada Brunei kerana ia berusaha secara intensif dalam mempelbagaikan ekonomi negara.

“Kita hidup dalam dunia yang bergerak pantas di mana kegagalan untuk menguruskan kualiti dapat merosakkan reputasi dan pulangan kewangan jenama global utama dan syarikat-syarikat. Kualiti menyumbang dalam skala besar kepada keluaran dalam negara kasar negara setiap tahun. Kualiti bukan sahaja mengurangkan pembaziran tetapi juga dapat menyelamatkan nyawa dan menyelamatkan nilai syarikat-syarikat yang berjuta-juta,” katanya.

Manakala menurut Dr. Sundara Pandy dalam ucapannya mengatakan ia adalah masa yang bertepatan bagi syarikat-syarikat Brunei untuk mencapai standard kualiti yang tinggi untuk bersaing dengan berkesan dalam pasaran global dan juga untuk membantu merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

ARTIKEL YANG SAMA