Capai pengimbangan BI

Capai pengimbangan BI

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Asia Tenggara sedang melalui perubahan ekonomi, sosial dan kebudayaan yang pesat yang mana rantau itu terus berdepan pelbagai cabaran abad ke-21 khususnya dalam usaha berterusan untuk mengintegrasikan ekonomi-ekonomi negara-negara anggota ASEAN bagi memudahkan lagi pembangunan dan pelaburan serantau.

Dengan perubahan yang berlaku itu, penggunaan Bahasa Inggeris (BI) dipercayai juga akan melalui satu perubahan yang ketara sekali gus mencerminkan trend serantau yang menyebabkan lebih banyak penduduk Asia Tenggara mula menguasai bahasa berkenaan untuk meningkatkan perhubungan di antara satu sama yang lain menerusi apa yang ditawarkan oleh penggunaan Internet.

Oleh itu, rantau Asia Tenggara menjadi medan yang amat menarik untuk mengadakan penyelidikan dalam penggunaan Bahasa Inggeris yang mana ia bukan sahaja digunakan sebagai bahan untuk mengajar tetapi diadaptasikan bagi menyesuaikannya dengan keperluan dunia moden.

Perkara itu dijelaskan oleh Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dalam kata alu-aluannya semasa Perasmian Persidangan Bahasa Inggeris dalam Asia Tenggara (ESEA) ke-18 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian persidangan itu ialah TImbalan Naib Canselor UBD, Profesor Madya Dr. Haji Azman bin Ahmad.

pg04_151117_b

Dr. Siti Norkhalbi (empat kiri), Profesor Madya Dr. Haji Azman (lima kiri) bergambar ramai bersama para penceramah undangan di majlis berkenaan.
Dr. Siti Norkhalbi (empat kiri), Profesor Madya Dr. Haji Azman (lima kiri) bergambar ramai bersama para penceramah undangan di majlis berkenaan.
Antara peserta yang hadir di majlis Persidangan Bahasa Inggeris dalam Asia Tenggara.
Antara peserta yang hadir di majlis Persidangan Bahasa Inggeris dalam Asia Tenggara.

Dr. Siti Norkhalbi berkata, persidangan itu bukan saja disertai para peserta dalam negara tetapi juga luar negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Macau, Jepun dan Australia, yang mana beliau berharap melalui pembentangan kertas utama dan kertas kerja, ia akan memberikan peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dan idea mengenai penggunaan Bahasa Inggeris di rantau Asia Tenggara.

Persidangan selama dua hari bermula hari ini dan berakhir esok (17 November) itu, membawa tema Interaksi Bahasa Inggeris dengan bahasa-bahasa lain di Asia Tenggara, membincangkan mengenai interaksi pelbagai peringkat di antara bahasa-bahasa negara, serantau dan setempat rantau Asia Tenggara dan Bahasa Inggeris oleh bukan sahaja komuniti setempat tetapi juga komuniti antarabangsa.

Persidangan itu mengetengahkan ceramah utama yang disampaikan oleh pakar-pakar linguistik serantau termasuk Profesor Adam Jaworski dari University of Hong Kong, Profesor Andy Kirkpatrick dari Griffith University, Brisbane, Australia dan Profesor David Deterding dari UBD.

Profesor David Deterding dalam pembentangan kertas utamanya membincangkan mengenai penggunaan Bahasa Inggeris oleh masyarakat setempat atau Asia Tenggara yang boleh menyebabkan disalahfahamkan oleh masyarakat antarabangsa. Beliau juga menyentuh mengenai sebutan dan penggunaan bahasa yang kurang tepat yang menyebabkan mereka kurang difahami ketika bertutur dengan masyarakat antarabangsa.

Di samping itu, persidangan itu juga menyediakan dua sesi bengkel istimewa serta pembentangan lebih 50 kertas kerja sepanjang persidangan itu.

Persidangan itu bermatlamat untuk mencapai pengimbangan antara isu-isu pembelajaran Bahasa Inggeris, aspek perancangan dan dasar bahasa, linguistik Bahasa Inggeris, kesusasteraan dalam Bahasa Inggeris di Asia Tenggara dan hubungan Bahasa Inggeris dengan bahasa-bahasa lain di rantau Asia Tenggara.

ARTIKEL YANG SAMA