Capai penjagaan kesihatan bersistematik

Capai penjagaan kesihatan bersistematik

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Dengan tema ‘Mengejar Kecemerlangan: Peranan Audit Klinikal dalam Penjagaan Pesakit’, Bahagian Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, hari ini, mengadakan Simposium Audit Klinikal ke-4 yang berlangsung di Dewan Al’Afiah, Kementerian Kesihatan, Commonwealth Drive, di sini.

Lebih 150 orang peserta yang terdiri daripada doktor-doktor di Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu yang bertugas di institusi kerajaan serta doktor-doktor klinik swasta di negara ini menghadiri simposium berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tema simposium adalah bersesuaian dengan wawasan Perkhidmatan Kesihatan Asasi, yang mana tujuannya adalah penjagaan klinikal yang cemerlang untuk pesakit.

Dalam usaha untuk mencapai perawatan terbaik bagi pesakit, penambahbaikan berterusan perlu dijalankan berdasarkan bukti berasaskan analisis yang sistematik dan kritikal terhadap kualiti penjagaan klinikal yang diberikan di negara ini dengan piawaian yang ditetapkan mengikut garis panduan klinikal antarabangsa dan untuk manfaat yang terbaik bagi pesakit.

Menurut Ketua Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif selaku pengerusi jawatankuasa penganjur, sejumlah 23 audit klinikal telah dikemukakan pada tahun ini yang merupakan peningkatan sangat baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

pg04_160123_c

Antara yang menghadiri simposium tersebut.
Antara yang menghadiri simposium tersebut.

Peningkatan ini, ujarnya, mencerminkan usaha jabatan untuk memberi rawatan terbaik untuk pesakit di Negara Brunei Darussalam. Enam audit klinikal terbaik telah dibentangkan, di samping itu, pertandingan poster audit juga telah diadakan.

Audit klinikal yang dikemukakan termasuk pengurusan penyakit ringan seperti penggunaan ubat batuk pada kanak-kanak, pengurusan sakit belakang, penyakit kulit, pesakit perut, demam pada kanak-kanak, serta pengurusan penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan asma.

Menurut seorang pegawai perubatan di Pusat Kesihatan Muara, yang mengemukakan audit klinikal beliau, Dr Nur Sadrina binti Haji Marsidi, penggunaan ubat batuk untuk kanak-kanak di bawah umur enam tahun adalah tidak digalakkan.

Batuk ini biasanya akan pulih dengan sendiri kerana ia biasanya disebabkan oleh virus, dan adalah lebih merbahaya jika diberikan ubat itu kerana kesan sampingan kepada kanak-kanak.

Pemenang bagi Persembahan Audit Terbaik disandang oleh Dr. Amalia Mutalib dan Dr Yung Chee Tee dari Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dengan topik mereka ‘An Audit on the Standard of Practice In Anthropometric Measurements in Child Health Clinics in Brunei-Muara District’.

Sementara itu, Poster Audit Terbaik dimenangi oleh Dr. Nur Sadrina dengan topik audit klinikal, ‘The Use of Cough and Cold Medicines in Patients below 6 Years’.

ARTIKEL YANG SAMA