Capai peringkat lebih tinggi

Capai peringkat lebih tinggi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Penerima-penerima anugerah pelajar cemerlang diseru untuk meneruskan pembelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi lagi dan menghasilkan keputusan-keputusan peperiksaan yang cemerlang pada masa akan datang.

Di samping itu, pemberian anugerah pelajar cemerlang kepada para penerima mampu menjadi motivasi kepada semua pelajar akan pentingnya pelajar dan kejayaan dalam pembelajaran bagi memastikan masa depan yang lebih baik serta dapat menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara.

Seruan dan harapan itu disuarakan oleh Pemangku Pengetua Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Akademik 2014/2015 yang berlangsung di auditorium maktab tersebut, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para penerima ialah Pemangku Pengarah Teknologi Maklumat, Kementerian Pendidikan, Awang Zainal Abidin bin Haji Kepli.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, Hajah Monaliza berkata, ia merupakan usaha sekolah untuk mendorong pelajar-pelajar bersaing secara sihat bagi mendapatkan kedudukan atau pengiktirafan sebagai pelajar cemerlang.

Awang Zainal Abidin menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima yang diraikan di majlis berkenaan.
Awang Zainal Abidin menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima yang diraikan di majlis berkenaan.
Hajah Monaliza menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.
Hajah Monaliza menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.
Awang Zainal Abidin bergambar ramai dengan para penerima yang diraikan pada majlis itu. – Gambar oleh Maktab Duli
Awang Zainal Abidin bergambar ramai dengan para penerima yang diraikan pada majlis itu. – Gambar oleh Maktab Duli

“Persaingan dalam pelajaran adalah sikap atau sifat yang sangat positif yang patut ada pada diri setiap pelajar.”

Tambahnya lagi, “Memanglah peperiksaan boleh memberikan kesan positif kepada pelajar dalam menanamkan nilai-nilai yang baik untuk membentuk sahsiah kerana peperiksaan merupakan ujian terhadap pencapaian pelajar dalam pelajaran yang ditempuhi.”

Usaha mereka yang bersungguh-sungguh dalam menghadapi ujian, ulasnya, memberikan nilai-nilai baik yang membantu mereka membentuk sikap bersabar, cekal hati, berkeyakinan diri, kuat daya fikir dan berani.

Pada majlis berkenaan, anugerah diberikan dalam enam kategori penghargaan iaitu Pencapaian Cemerlang dalam GCE ‘A’ Level Oktober/November 2015 kepada seramai 34 orang penerima, Anugerah Special Mention bagi mata pelajaran-mata pelajaran dalam GCE ‘A’ Level Oktober/November 2015 kepada seramai 24 orang penerima, Anugerah Pencapaian Terbaik Penghuni Asrama kepada seorang penerima, Anugerah Terbaik Keseluruhan Peperiksaan Mock AS 2015 kepada seramai 11 orang penerima, Anugerah Special Mention bagi mata pelajaran-mata pelajaran dalam Peperiksaan AS 2015 kepada seramai 26 orang penerima dan Anugerah Jabatan Cemerlang berdasarkan kepada GCE ‘A’ Level Oktober/November 2015 kepada seramai 16 orang penerima iaitu dalam kalangan pensyarah maktab.

ARTIKEL YANG SAMA