Capello dipecat

Capello dipecat

MOSCOW, 15 Julai – Kesatuan Bola Sepak Rusia (RFU) sebentar tadi mengumumkan penamatan kontrak Fabio Capello sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan negara itu.

“RFU dan ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Fabio Capello, sama-sama bersetuju untuk menamatkan kontrak pekerjaannya.

“RFU dengan ikhlas mengucapkan terima kasih di atas usaha beliau sebagai ketua jurulatih pasukan negara dan mendoakan kejayaan untuk masa depan aktiviti profesional,” kata kesatuan itu dalam satu kenyataan.

Bekas pengurus England berusia 69 tahun itu – dikatakan sebagai jurulatih yang menerima bayaran tertinggi dalam bola sepak antarabangsa – menghadapi tekanan yang semakin meningkat berikutan persembahan hambar pasukan dalam kempen kelayakan Euro 2016 Rusia.

Rusia hanya menang dua daripada enam perlawanan kelayakan Kumpulan G – menang 4-0 ke atas Liechtenstein di laman sendiri September lalu sebelum menang 3-0 daripada perlawanan yang ditinggalkan menentang Montenegro di Podgorica pada Mac.

Pemangku RFU Nikita Simonyan bercakap kepada media semasa sidang akhbar selepas mesyuarat dengan ahli jawatankuasa kesatuan itu di Moscow semalam. – Reuters
Pemangku RFU Nikita Simonyan bercakap kepada media semasa sidang akhbar selepas mesyuarat dengan ahli jawatankuasa kesatuan itu di Moscow semalam. – Reuters

Mereka ditambat pasukan kerdil Moldova dan tewas dua kali kepada Austria yang memimpin kumpulan.

Rusia ketiga dalam kumpulan dengan baki empat perlawanan, yang bermaksud tempat Euro 2016 di Perancis tahun depan jauh masih samar kerana hanya tiga pasukan terbaik daripada sembilan kumpulan akan layak ke peringkat seterusnya dan selebihnya terpaksa mengharungi play-off.

Lawan Rusia di laman sendiri September ini ialah Sweden di tempat kedua. Selepas tewas 1-0 kepada Austria di Moscow bulan lepas, sekumpulan peminat memulakan kempen mengumpul dana 21.4 juta euro (AS$23.6 juta) untuk membayar kontrak Capello yang tamat selepas Piala Dunia 2018.

Satu tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan 53 peratus peminat di negara ini mahu Capello meletak jawatan. Capello mengambil alih pasukan pada 2012 dan membawa mereka ke Piala Dunia 2014 sebelum diberi kontrak baru lumayan sehingga Piala Dunia 2018 berakhir.

Tetapi selepas Rusia tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia di Brazil tanpa memenangi satu perlawanan, Capello telah dikritik hebat dan hanya sokongan Menteri Sukan Rusia, Vitaly Mutko menghalang beliau daripada kehilangan pekerjaannya. – AFP