Capello masih latih Rusia

Capello masih latih Rusia

MOSCOW, 25 Jun (AFP) – Fabio Capello masih kekal sebagai jurulatih skuad kebangsaan Rusia namun untuk sementara dengan nasibnya bakal ditentukan dalam tempoh dua minggu lagi.

Bekas pengurus England, Real Madrid dan AC Milan itu mengambil alih sebagai jurulatih skuad kebangsaan Rusia pada Julai 2012 tetapi sering mendapat desakan agar berundur berikutan prestasi buruk pada pusingan kelayakan Euro 2016.

“Fabio Capello tidak dipecat. Buat masa ini dia kekal mengendalikan skuad,” kata Presiden Kesatuan Bola Sepak Rusia (RFU), Nikita Simonian.

“Kami akan berbincang dengan Capello untuk melihat sama ada dia akan meninggalkan atau kekal bersama pasukan. Rundingan ini dijangka dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif RFU, Sergey Anokhin, berkata adalah lebih baik rundingan diadakan mengenai pekej pampasan yang rendah ditawarkan kepada Capello yang difahamkan memperoleh 21.4 juta Euro sekiranya kontraknya dibatalkan.

Fabio Capello masih kekal sebagai jurulatih skuad kebangsaan Rusia. – Reuters
Fabio Capello masih kekal sebagai jurulatih skuad kebangsaan Rusia. – Reuters

“Dalam tempoh segera perkara ini perlu dimuktamadkan. Kami akan mencari satu persetujuan dengan Capello agar jumlah itu dapat dikurangkan,” kata Anokhin.

Isnin lalu, tokoh perniagaan Alisher Usmanov mengumumkan bahawa beliau sudah meminjamkan kepada RFU sejumlah 300 juta roubles untuk membayar gaji Capello. Capello yang berusia 69 tahun memperoleh gaji tahunan sebanyak 7 juta Euro.

ARTIKEL YANG SAMA