Car Boot SCB tarik minat pengunjung

Car Boot SCB tarik minat pengunjung

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Dis – Sebagai salah satu inisiatif kebajikan globalnya, ‘Seeing is Believing’ iaitu program amal yang menumpukan kepada kesihatan mata dan pencegahan kebutaan, Bank Standard Chartered (SCB) telah menganjurkan jualan amal Car Boot di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Jualan amal dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu disertai oleh lebih 20 peserta yang terdiri daripada kakitangan bank berkenaan dan juga orang ramai.

Pelbagai barangan yang dijual oleh para peserta termasuk makanan dan minuman serta barang-barang terpakai seperti kasut, pakaian, beg dan buku.

Jualan itu juga telah berjaya menarik minat para pengunjung yang datang dari awal pagi lagi untuk memastikan mereka mendapatkan barangan yang istimewa pada harga menarik.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai barangan yang dijual pada jualan amal tersebut.
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai barangan yang dijual pada jualan amal tersebut.

Selain itu, SCB turut menjual barangan istimewa dan eksklusif SCB, yang mana hasil jualan daripada barang-barang eksklusif berkenaan akan dihulurkan kepada dana ‘Seeing is Believing’.

Para peserta dikenakan bayaran sebanyak $30, yang akan disumbangkan kepada dana ‘Seeing is Believing’ dan para peserta juga boleh menyumbangkan sebahagian daripada hasil jualan itu kepada dana berkenaan secara sukarela.

‘Seeing is Believing’ merupakan sebuah dana yang ditubuhkan pada tahun 2003 oleh SCB dengan menyasarkan kutipan sebanyak AS$100 juta menjelang 2020.

ARTIKEL YANG SAMA