Cara Mourinho

Cara Mourinho

WASHINGTON, 28 Julai (AFP) – Juara bertahan Eropah, Barcelona dan juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea yang sedang berusaha mempertahankan gelaran masing-masing, akan bertemu dalam satu perlawanan persahabatan di pinggir bandar Washington.

Pengurus Chelsea Jose Mourinho berkata, beliau mahu melihat keserasian anak buahnya dan ia lebih penting berbanding kemenangan ketika bertemu juara Sepanyol itu nanti.

“Saya tidak begitu mementingkan keputusan pada perlawanan itu nanti,” kata Mourinho. “Anda mahu berlatih. Anda membuat perubahan di dalam pasukan kerana anda mempunyai perancangan tersendiri tetapi niat sebenar perlawanan ini sering disalah tafsirkan oleh ramai orang.”

Pengurus Barcelona Luis Enrique menyokong idea untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab besar sebelum saingan liga masing-masing bermula.

Pasukannya muncul kelab Eropah pertama memenangi trebel dua kali apabila memenangi Liga Juara-Juara, La Liga dan Copa del Rey musim lalu selepas berbuat demikian enam tahun lalu.

Mourinho (tengah) lebih mementingkan keserasian pemain berbanding kemenangan ketika bertemu Barcelona. – Reuters
Mourinho (tengah) lebih mementingkan keserasian pemain berbanding kemenangan ketika bertemu Barcelona. – Reuters

“Setakat ini, kami bermain dengan baik dan rentak permainan juga agak sempurna,” kata Enrique. “Memang bagus dapat bertemu pasukan kuat. Ia sesuatu yang menyeronokkan. Adalah penting untuk melihat kemampuan pemain dan pada perlawanan sebegini, mereka biasanya mampu menterjemahkan aksi terbaik.”

Kedua-dua pasukan sedikit goyah pada aksi pramusim kali ini. Chelsea tewas 4-2 di tangan New York Red Bulls sebelum bangkit menewaskan Paris St Germain 6-5 menerusi penalti selepas terikat 1-1. Barcelona menang 2-1 ke atas Los Angeles Galaxy 2-1 tetapi tewas 3-1 di tangan Manchester United.

Barcelona tidak menurunkan pemain bintang seperti Lionel Messi dan Neymar selepas kedua-duanya beraksi di Copa America. Chelsea pula bermain tanpa khidmat penyerang Colombia Radamel Falcao kerana tugasan di Copa America.

ARTIKEL YANG SAMA