Cara seronok belajar Matematik

Cara seronok belajar Matematik

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Seramai 500 pelajar Tahun 8 hingga 10 dari beberapa buah sekolah jemputan di Brunei, hari ini, dihiburkan dengan taklimat ‘Mathematics of Juggling’ bersama Dr. Colin Wright selaku penyampai jemputan dari Kelee University, United Kingdom.

Antara sekolah yang dijemput menghadiri taklimat berkenaan yang berlangsung di Auditorium Pusat Kesenian Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), itu termasuk JIS, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah Lumut, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Antarabangsa Berakas dan Sekolah Menengah Chung Hwa.

Acara berkenaan adalah bersempena dengan sambutan Minggu Matematik JIS 2016, di mana Dr. Colin Wright yang terkenal dengan menyampaikan pembelajaran Matematik menggunakan teknik menjugel dijemput untuk menyampaikan taklimat.

Dalam taklimat yang mengambil masa selama 75 minit itu, Dr. Colin menjelaskan pelbagai cara penggunaan matematik, ini termasuk menunjukkan pilihan corak menjugel dan pada waktu yang sama membangunkan satu kaedah teori yang mudah menggambarkan anotasi corak menjugel.

Sekolah Menengah Chung Hwa turut dijemput pada taklimat ‘Mathematics of Juggling’ bersama Dr. Colin Wright.
Sekolah Menengah Chung Hwa turut dijemput pada taklimat ‘Mathematics of Juggling’ bersama Dr. Colin Wright.
Dr. Colin Wright dari Kelee University, menunjukkan kemahiran menjugel dan pada waktu yang sama mencipta satu kaedah yang mudah menggambarkan anotasi corak menjugel.
Dr. Colin Wright dari Kelee University, menunjukkan kemahiran menjugel dan pada waktu yang sama mencipta satu kaedah yang mudah menggambarkan anotasi corak menjugel.

Menurut Penyelaras Matematik JIS, Philip May, Dr. Colin Wright dijemput ke Negara Brunei Darussalam atas tajaan Brunei LNG untuk menyampaikan tiga taklimat dengan menjemput beberapa buah sekolah di negara ini.

Selain menyampaikan taklimat, beliau juga akan mengadakan bengkel semasa Minggu Matematik dijalankan yang akan mengongsikan topik luar biasa.

Dengan adanya Minggu Matematik ini, para pelajar dapat berhibur dengan matematik, bukan sahaja asas matematik bahkan gaya matematik lainnya menggunakan konsep yang mudah untuk dipelajari.

ARTIKEL YANG SAMA