CARAT ke-22 berakhir

CARAT ke-22 berakhir

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Kerjasama Latihan dan Kesediaan Apungan (CARAT) ke-22 antara Angkatan Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) melabuhkan tirainya hari ini dalam majlis penutup di Dewan Nakhoda, Pusat Latihan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) di Muara.

Majlis penutup eksesais itu disempurnakan oleh tetamu kehormat, Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, TLDB, Kapten Haji Yusuf bin Masron yang turut menyampaikan ucapan ringkas.

Menurutnya, Eksesais CARAT pada tahun ini memberikan peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan kedua-dua buah negara yang meraih manfaat daripadanya.

Eksesais itu juga landasan bagi kedua-dua angkatan tentera untuk mengongsikan amalan terbaik, mengukuhkan kerjasama dalam menangani cabaran-cabaran keselamatan maritim bersama dan meningkatkan operasi dua hala antara kedua-dua negara, tambahnya.

Pada majlis itu, kedua-dua belah pihak juga bertukar-tukar cenderahati kenangan-kenangan.

Kapten Haji Yusuf ketika menyampaikan ucapan penutup.
Kapten Haji Yusuf ketika menyampaikan ucapan penutup.
Pertukaran cenderahati kenang-kenangan di antara kedua-dua belah pihak.
Pertukaran cenderahati kenang-kenangan di antara kedua-dua belah pihak.
Antara yang hadir di majlis penutup berkenaan.
Antara yang hadir di majlis penutup berkenaan.

Timbalan Komodor Skuadron 7 Destroyer, Kapten Lex Walker ketika ditemu bual wartawan Media Permata menjelaskan, eksesais kali ini diadakan selama lima hari yang merangkumi semua aspek-aspek penting berbanding selama dua hingga tiga minggu sebelumnya.

“Kami telah mengadakan latihan yang merangkumi operasi di tanah, udara, dan laut serta di bawah permukaan laut, kesemuanya dilakukan dengan sempurna dan selamat serta profesional.

“Perkara ini dapat dilakukan dengan mudah kerana perancangan dan penyelarasan kerja berpasukan yang dilakukan dengan baik,” katanya.

CARAT yang diadakan selama lima hari di kawasan pesisiran pantai dan laut melibatkan anggota dan aset daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), TLDB, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Pasukan Perubatan, Unit Perundangan, Pancaragam ABDB, Unit Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan serta agensi-agensi kerajaan yang lain. Sementara Angkatan Tentera AS pula terdiri daripada Unit Tentera Laut AS dan Marine Corps AS.

Selain eksesais, aktiviti sampingan yang dilakukan oleh anggota tentera kedua-dua negara ialah pertukaran komuniti, persembahan pancaragam dan kemahiran simposium.

ARTIKEL YANG SAMA