Cari alternatif selain minyak dan gas

Cari alternatif selain minyak dan gas

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

pg01_160309_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Penubuhan agensi penggalak, Darussalam Enterprise (DARe) dan pengendalian Brunei Halal yang lebih cekap, serius dan teratur adalah antara beberapa isi penting yang diluahkan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Zasia binti Sirin ketika menyampaikan hujah sokongan terhadap usul menjunjung kasih.

Usul menjunjung kasih itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong pada Sesi Mesyuarat Pertama, Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang mula bersidang semalam.

Dalam hujah sokongannya yang memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada perasmian Musim Permesyuaratan ke-12, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Zasia berkata, Baginda Sultan menitahkan supaya ahli-ahli yang bersidang memberikan saranan atau buah fikiran mengenai cara-cara mengurangkan kebergantungan pada sumber minyak dan gas.

Menurutnya, Baginda Sultan menegaskan perhatian perlu diberikan bagaimana untuk memperkasa ekonomi oleh kerajaan sendiri termasuk memperkasa sektor swasta untuk membantu memperbaiki persekitaran perniagaan termasuk infrastruktur dan perundangan yang pro perniagaan.

Beliau juga menjunjung tinggi kepimpinan Baginda Sultan banyak melakukan reformasi yang pro perniagaan dan dapat menjana kepelbagaian ekonomi negara serta menyembahkan sokongan terhadap usaha-usaha kerajaan dalam menggiatkan lagi sektor perniagaan dan keusahawanan demi pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Menurutnya, beberapa pandangan dan saranan telah diutarakan dalam persidangan lalu dan pihak berkenaan telah membuat perancangan dan pelan strategik sehingga salah satu inisiatif itu ialah Darussalam Enterprise.

Katanya, 80 peratus keahlian Darussalam Enterprise terdiri daripada peniaga dan pengusaha tempatan dan apa yang diharapkan ialah peluang-peluang yang disediakan akan lebih memberi laluan dan penglibatan secara langsung kepada warga tempatan yang baru berkecimpung atau yang sudah bergiat agar lebih berkembang maju di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Menyentuh mengenai pelaburan langsung asing (FDI), katanya, usaha-usaha untuk memudah cara aktiviti perekonomian perlu terus dipertingkat dan diperkemas.

Beliau mencadangkan kemasukan FDI ke negara ini perlu dibuat penelitian secukupnya supaya pemilihan FDI itu bukan saja memberi pulangan dan keuntungan kewangan kepada negara, tetapi juga membantu dalam menyediakan sumber tenaga tempatan dalam sektor berkenaan.

Kajian terperinci juga perlu dibuat seperti setakat mana keperluan yang hendak dicapai dalam sektor berkenaan dalam mengimbangi hasil pendapatan minyak dan gas di negara ini kerana dengan ada sukat-sukat tertentu kerajaan akan lebih berhati-hati dalam pemilihan dan tidak akan berlaku isu kerugian yang besar dalam pelaburan negara.

Beliau berkata, FDI amat mustahak untuk mengambil status negara mengenai standard yang tinggi mengenai isu halal kerana apa yang menjadi keutamaan dalam isu itu adalah bagaimana pihak tertentu menangani isu halal dengan lebih serius lagi, cepat, cekap dan teratur.

ARTIKEL YANG SAMA