Cari jalan rungkai isu monopoli saham koperasi

Cari jalan rungkai isu monopoli saham koperasi

Oleh Sim Y. H.

 

pg01_160311_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Isu berkaitan dengan monopoli saham bagi kepentingan individu tertentu dalam sesebuah koperasi mendapat perhatian dalam Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang pada hari kelima, hari ini.

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar ketika memberikan gambaran sebenar berkaitan isu monopoli saham bagi kepentingan individu tertentu dalam sesebuah koperasi berkata bahawa perkara itu nampaknya sudah menjadi kebiasaan dalam beberapa koperasi.

“Dalam Bab 26 Akta Syarikat Kerjasama dan Undang-undang Kecil Koperasi, ianya menyatakan seseorang ahli tidak boleh memegang saham lebih daripada 20 peratus jumlah modal saham yang terkumpul di dalam koperasi berkenaan.”

Jelas Yang Berhormat Pehin lagi, walaupun pemegang-pemegang saham ini mungkin memegang tidak lebih dari 20 peratus jumlah modal saham dan tidak menyalahi akta berkenaan, kadangkala, pemegang 20 peratus berkenaan ini, dipegang oleh individu tertentu sahaja dan tidak dibukakan kepada orang ramai.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin mengajak ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, untuk sama-sama memikirkan, Apakah koperasi begini digalakkan?

“Bukankah tujuan awal koperasi ini ditubuhkan dan dihasratkan bagi membuka peluang kepada rakyat untuk menyertai dalam bisnes koperasi dan bukan untuk kepentingan sesetengah individu sahaja?”

Terdahulu dari itu, Yang Berhormat Pehin menjawab persoalan yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhammad Taha bin Abdul Rauf mengenai usaha dan tindakan bagi meningkatkan produktiviti koperasi khususnya koperasi yang dikendalikan oleh persatuan-persatuan belia.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa antara tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan adalah untuk menyediakan program latihan dan pendidikan khusus dalam koperasi-koperasi secara berterusan, yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam urustadbir dan aktiviti perniagaan koperasi termasuklah koperasi belia.

“Antara program-program latihan dan kursus yang telah dikendalikan adalah penyediaan rancangan perniagaan, asas pengurusan strategik, asas simpan kira dan perakaunan koperasi, tugas dan tanggungjawab ahli lembaga koperasi dan pengenalan juru audit dalaman.”

Di samping itu, tambahnya lagi, pihak kerajaan juga mengadakan program bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Sdn Bhd (ANGKASA) di mana dalam program itu, ANGKASA telah membawa bersama beberapa koperasi Malaysia dengan produk masing-masing dan pihak koperasi di Brunei diberikan kesempatan untuk menjadi ejen bagi penjualan produk-produk berkenaan di negara ini.

“Program ini juga dapat membuka ruang kepada para belia yang terlibat dalam koperasi untuk menambahkan kegiatan perniagaan.”

Ulas Yang Berhormat Pehin, “Setakat ini, hanya satu program sahaja telah dijalankan bersama dengan pihak ANGKASA iaitu Program Business Matching bagi semua koperasi-koperasi di negara dan ianya tidak mengkhususkan kepada persatuan belia.”

Pada 2016, pihak kerajaan kini giat merancang beberapa usaha bagi pembangunan koperasi, iaitu termasuk melibatkan pihak koperasi sebagai ahli kepada Kumpulan Kerja Rakan Penggerak Koperasi bagi menyediakan program sepanjang tahun seperti program business matching di antara koperasi dan pengusaha-pengusaha kotej, menubuhkan pusat edaran bagi produk-produk koperasi dan kotej, penjenamaan koperasi dan program memperkasa koperasi.

ARTIKEL YANG SAMA