Cari kesempurnaan sembahyang

Cari kesempurnaan sembahyang

Oleh Siti Nur Wasimah S. & Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Sembahyang merupakan satu ibadah yang amat penting yang dititikberatkan bagi seluruh umat Islam tidak kira umur, bangsa dan keturunan.

Sehubungan itu, sempena Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara tahun ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kemajuan Syiar Islam mengadakan Bengkel Kesempurnaan Sembahyang.

Bengkel yang diadakan di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan KHEU itu akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini dan dikhususkan bagi kakitangan kerajaan yang bukan terdiri daripada aliran Arab dan agama.

Pada sebelah pagi, bengkel disertai seramai 52 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan Bahagian III hingga V di mana ia dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Haji Idris bin Haji Ali, manakala itu, pada sebelah petang pula disertai seramai 55 orang peserta dari Bahagian II ke bawah.

Bengkel yang diadakan buat kali ke-5 ini memfokuskan dalam menghalusi bacaan Surah Al-Fatihah, teori dan praktikal sembahyang, sembahyang jamak dan qasar, wuduk serta tayamum dan juga cara sembahyang dalam kenderaan.

Para pemudah cara yang menyampaikan tajuk-tajuk bagi Bengkel Kesempurnaan Sembahyang.
Para pemudah cara yang menyampaikan tajuk-tajuk bagi Bengkel Kesempurnaan Sembahyang.
Haji Suhaimi menjelaskan perkara dalam menghalusi bacaan Surah Al-Fatihah, teori dan praktikal sembahyang, sembahyang dalam kenderaan.
Haji Suhaimi menjelaskan perkara dalam menghalusi bacaan Surah Al-Fatihah, teori dan praktikal sembahyang, sembahyang dalam kenderaan.

Para peserta bengkel juga akan dibawa ke tempat-tempat bersesuaian untuk melakukan praktikal serta membuat kegiatan sosial iaitu di Kampung Sungai Teraban, Kuala Belait dan di Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer.

Bengkel ini dijalankan dalam bentuk pengajaran dan pembelajaran kelas serta diadakan secara berasingan iaitu kumpulan lelaki dan kumpulan perempuan.

Ia akan disampaikan oleh enam orang pemudah cara dengan dua orang akan memfokuskan setiap tajuk.

Tajuk ‘Sembahyang dari Segi Teori dan Praktikal dan Menghalusi Bacaan Surah Al-Fatihah serta Sembahyang dalam Kenderaan’ akan disampaikan oleh wakil Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Haji Jamil bin Haji Ghani dan wakil dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), Hajah Salmah binti Haji Ahmad.

Antara peserta lelaki yang menyertai Bengkel Kesempurnaan Sembahyang.
Antara peserta lelaki yang menyertai Bengkel Kesempurnaan Sembahyang.
Peserta perempuan ketika mendengar taklimat cara sembahyang Jama’ dan Qasar di samping mendalami dan mengetahui cara berwuduk dan bertayamum dengan sempurna.
Peserta perempuan ketika mendengar taklimat cara sembahyang Jama’ dan Qasar di samping mendalami dan mengetahui cara berwuduk dan bertayamum dengan sempurna.

Manakala itu, bengkel ‘Kesempurnaan Wuduk dan Tayamum Khususnya dalam Kenderaan’ akan disampaikan oleh wakil JHEM, Haji Suhaimi bin Haji Mohd Noor dan wakil JPI, Hajah Sinega binti Haji Swadi.

Sementara itu, wakil dari JPI, Haji Khalidon bin Haji Salleh dan Hajah Adijah binti Haji Taha akan menyampaikan tajuk ‘Sembahyang Jama’ dan Qasar’.

Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai melaksanakan sembahyang dengan betul serta memperbaiki sembahyang dari segi teori dan praktikal dan juga bacaan Surah Al-Fatihah.

Di samping itu juga, untuk mempelajari cara sembahyang jama’ dan qasar, cara berwuduk dengan sempurna, cara bertayamum dengan sempurna dan penggunaan debu yang betul serta banyak lagi.

Majlis penutup bengkel tersebut akan diadakan pada 19 Mei nanti di Dewan Bangunan Tambahan KHEU.

ARTIKEL YANG SAMA