Cari ketenangan dalam Hijrah Rasulullah

Cari ketenangan dalam Hijrah Rasulullah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Jawatankuasa Keagamaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti, UBD hari ini menganjurkan Ceramah Khas sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah yang berlangsung di Masjid Universiti, UBD.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Dekan Pelajar, Awang Saidai bin Haji Awang Hitam selaku Setiausaha Jawatankuasa Keagamaan UBD.

Kira-kira 100 orang yang hadir di majlis itu telah mendengarkan ceramah bertajuk ‘Hijrah Satu Ketenangan’ yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas di Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.

Pegawai Agama, Bahagian Hal Ehwal Pelajar selaku Urus Setia Jawatankuasa Keagamaan UBD, Dayangku Siti Norainul Fathni binti Pengiran Haji Tajuddin, ketika ditemu bual berkata, tajuk berkenaan dipilih khusus kerana pada masa ini para pelajar UBD sedang sibuk membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

“Selalunya pada ketika inilah para pelajar akan memerlukan tip-tip untuk mencari ketenangan, maka penyampaian ceramah itu akan membolehkan mereka mengadaptasikan kisah-kisah yang terkandung dalam peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W yang sesuai untuk memperoleh kejayaan atau ketenangan semasa menghadapi peperiksaan,” ujar beliau.

Awang Saidai (tengah) bersama para jemputan dan pelajar yang lain hadir di majlis ceramah khas anjuran UBD.
Awang Saidai (tengah) bersama para jemputan dan pelajar yang lain hadir di majlis ceramah khas anjuran UBD.
Awang Muhammad Yussof ketika menyampaikan ceramah mengenai Hijrah Satu Ketenangan di Masjid UBD.
Awang Muhammad Yussof ketika menyampaikan ceramah mengenai Hijrah Satu Ketenangan di Masjid UBD.

Menurutnya lagi, pihak UBD memang mengadakan ceramah sempena sambutan Awal Tahun Hijrah pada setiap tahun dan pada tahun ini ceramah itu diadakan bagi memberikan semangat kepada para pelajar untuk bersedia dan tabah menghadapi peperiksaan masing-masing.

Katanya lagi, bagi menyemarakkan majlis itu, selain mengundang para kakitangan dan pelajar UBD, pihaknya juga mengundang para pelajar dari Institut Teknologi Brunei, Politeknik Brunei dan orang ramai.

Sementara itu, ketika bercakap mengenai pengisian ceramah itu, Awang Muhammad Yussof menjelaskan, ceramahnya itu berkisar mengenai peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W yang mengandungi banyak pengajaran.

“Salah satu pengajaran yang dapat kita ambil daripada peristiwa hijrah itu adalah tentang ketenangan kerana dalam peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W, Allah S.W.T telah memberikan Baginda Sakinah.

“Ini kerana pada masa itu, Baginda berada dalam keadaan genting bersama Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq di dalam gua, namun Allah S.W.T telah memberikan Baginda ketenangan,” kata Awang Muhammad Yussof.

Majlis itu kemudian diakhiri dengan sesi soal jawab antara para hadirin dengan penceramah.

ARTIKEL YANG SAMA