Cari makna tersirat dalam kejadian gerhana

Cari makna tersirat dalam kejadian gerhana

Oleh Yusrin Junaidi, Normazlina M.D & Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Ketika berlakunya gerhana, manusia itu terbahagi kepada tiga golongan iaitu orang-orang jahiliah kuno, jahiliah moden dan orang-orang beriman.

Perkara tersebut ditekankan oleh Ketua Zon 2 Masjid-masjid Daerah Tutong, Haji Muhd Aidil Sufian bin Muhd Yassin ketika ditemu bual oleh Media Permata berkenaan kejadian gerhana matahari yang berlaku hari ini.

Beliau berkata, golongan Jahiliah Kuno yang mana mereka membangunkan orang ramai dengan memukul lesung, pohon-pohon kelapa kerana menganggap bahawa dewa mereka sedang murka, sementara golongan jahiliah moden menganggap bahawa gerhana hanya sekadar fenomena alam, lalu mereka menonton gerhana tersebut sebagai satu pesta dan menyaksikan proses gerhana mulai awal sehingga selesai terjadinya gerhana tanpa melakukan amalan-amalan.

Sementara golongan ketiga iaitu orang-orang yang beriman yang berpegang dengan sunnah Rasulullah S.A.W, dengan terjadinya gerhana ini, masyarakat Islam yang beriman memperbanyakkan istighfar, memperbanyakkan bersedekah dan seterusnya mengadakan solat Sunat Gerhana sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W kerana dengan keyakinan amalan-amalan itu akan dibalas pahala sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Haji Muhd Aidil Sufian, ketika ditemu bual Media Permata.
Haji Muhd Aidil Sufian, ketika ditemu bual Media Permata.

Sementara itu, Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Sahibol Omar bin Haji Yusof menjelaskan berlakunya gerhana matahari ini, orang ramai perlu mengambil peluang untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Sunat Gerhana Matahari dan diseru untuk mengamalkan amalan-amalan yang dituntut oleh Rasullullah S.A.W iaitu berzikir, bersedekah, membaca Al-Quran dan sebagainya.

Imam Masjid Kampung Masin, Haji Zainol pula menyeru semua jemaah masjid dan surau supaya mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan keimanan serta ketakwaan kepada Allah S.W.T dengan mengadakan solat Sunat Gerhana dan seterusnya mendengar khutbah gerhana memandangkan perkara ini jarang berlaku.

Selain itu, Pegawai Hal Ehwal Masjid Kawasan 1 Kuala Belait, Awang Akup bin Haji Lamat, juga memberitahu apabila berlakunya fenomena alam tersebut umat Islam perlu mengambil fadilat dengan bersolat selain memikirkan kejadian itu sebagai satu iktibar dan turut mengamalkan sedekah dan menolak perkara-perkara bidaah, kerana ada sebahagian yang berpendapat ia akan mendatangkan musibah.

“Mengerjakan solat Sunat Gerhana juga adalah sebagai salah satu usaha kita memohon doa kepada Allah supaya gerhana cepat berlalu,” kata Awang Yassin yang turut menunaikan solat Sunat Gerhana, di Masjid Muhammad Jamalul Alam.

Salah seorang jemaah, Haji Mustafa pula berpandangan, tidak salah untuk kita berebut-rebut menghayati kecantikan gerhana tetapi janganlah sampai kita terleka kerananya dan perlu menghayati apa yang tersurat dan apa yang tersirat daripada Allah S.W.T, semoga kita semua dirahmati olehNya daripada segala bencana.

ARTIKEL YANG SAMA