Cari mangsa gempa bumi

Cari mangsa gempa bumi

MASHIKI, Jepun, 15 April (AFP) – Pasukan penyelamat hari ini berusaha mencari mangsa-mangsa yang terselamat selepas kejadian gempa bumi kuat di selatan Jepun yang telah mengorbankan kira-kira sembilan orang dan beratus-ratus orang cedera.

Kejadian gempa bumi telah mencetuskan kebakaran dan keadaan kelam kabut di jalan raya.

Puluhan ribu orang lari meninggalkan rumah mereka selepas gempa bumi 6.5 magnitud melanda pulau barat daya Kyushu malam semalam, yang mengakibatkan longgokkan konkrit pecah berselerak di jalan-jalan raya.

Rumah runtuh, kilang berhenti beroperasi dan kereta api laju tergelincir, manakala bumbung istana berharga Kumamoto di bandar selatan Kumamoto juga mengalami kerosakan.

“Rumah bergoncang,” kata Nobuyuki Morita, 67 tahun, seorang penduduk di bandar Mashiki, wilayah Kumamoto yang teruk terjejas, dengan menambah kata dia sedang menonton televisyen di rumah apabila gempa bumi berlaku.

Seorang wanita membersihkan di hadapan rumah yang runtuh akibat gegaran gempa bumi di bandar Mashiki, wilayah Kumamoto pada 15 April. – AFP
Seorang wanita membersihkan di hadapan rumah yang runtuh akibat gegaran gempa bumi di bandar Mashiki, wilayah Kumamoto pada 15 April. – AFP

“Saya benar-benar terkejut,” ujarnya. “Saya tidak pernah mengalami gempa bumi besar seperti ini sejak saya dilahirkan.”

Dia dan isterinya bermalam di kereta mereka kerana bumbung rumah mereka telah runtuh dan perabot terbalik.

Berbelas-belas kejutan lanjur menyusuli gempa bumi, yang berlaku kira-kira pukul 9:26 malam pada petang semalam, dan para pegawai memberi amaran angka kematian mungkin meningkat ketika pasukan penyelamat berusaha mencari di struktur-struktur yang runtuh.

Ketika para pekerja penyelamat bekerja keras sepanjang malam, anak damit perempuan berusia lapan bulan ditarik keluar daripada runtuhan dalam keadaan masih bernyawa dan tidak mengalami kecederaan, lapor NHK.

“Apa yang boleh kami beritahu melihat daripada imej inframerah dari helikopter polis, nampaknya banyak rumah musnah atau separa runtuh,” kata menteri bencana Taro Kono.

“Timbul kebimbangan bilangan mangsa tercedera mungkin meningkat.”

Pasukan penyelamat sedang menumpukan pencarian mereka di Mashiki, berhampiran kawasan pusat gempa yang mana di situ kebanyakan kematian dicatatkan.

Di jalan-jalan, serpihan runtuhan rumah jenis Jepun musnah – yang kebanyakannya struktur kayu sudah berusia – dan atap bumbung jatuh berlonggokan.

ARTIKEL YANG SAMA