Cari minyak: Vietnam beri amaran China

Cari minyak: Vietnam beri amaran China

HANOI, 20 Jan – Vietnam telah mengingatkan China supaya jangan mencari gali minyak selepas Beijing memindahkan sebuah pelantar minyak besar di tengah perbalahan laut sebelumnya ke perairan yang dipertikaikan.

Tindakan itu diambil sehari sebelum peralihan politik bermula di Hanoi tatkala pemimpin komunis bertemu untuk kongres yang diadakan lima tahun sekali itu.

China telah memindah pelantar minyak HY-981 ke “kawasan bertindan pentas benua di antara pantai tengah Vietnam dan pulau Hainan China,” kata jurucakap kementerian luar Hanoi Le Hai Binh lewat semalam.

Hanoi mengawasi ketat perpindahan pelantar minyak, yang menyebabkan perbalahan laut bergelora dan rusuhan anti-China pada 2014 selepas ia dihantar selama beberapa bulan di perairan yang dituntut oleh Vietnam.

Perpindahan pelantar minyak diadakan pada masa sensitif untuk Hanoi, dengan parti komunis Vietnam bersedia untuk menghadapi perubahan kepimpinan pada kongres parti akan datang, yang bermula esok.

“Vietnam meminta China supaya jangan meneruskan dengan aktiviti mencari dan mengeluarkan pelantar minyak dari kawasan itu,” kata Binh dalam satu kenyataan yang disiarkan di Internet.

Hanoi dan Beijing sering bertikam lidah mengenai rangkaian pulau dan perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

Pengendalian hubungan sensitif dengan China oleh pemimpin – yang merupakan rakan perniagaan terbesar negara – sering menjadi ledakan kritikan domestik kerajaan autoritarian Vietnam.

Ketegangan di antara kedua-dua jiran komunis itu telah meningkat dalam beberapa minggu ini mengenai penerbangan China menerusi ruang udara Vietnam ke Terumbu Fiery Cross di kumpulan Pulau Spratly.

Bagaimanapun menurut Reuters, Kementerian Luar Negeri China yang membalas kenyataan daripada Vietnam mengatakan hari ini bahawa pelantar minyak air dalam bernilai AS$1 bilion itu tidak menggerudi di wilayah dipertikaikan di Laut China Selatan. – AFP/Reuters