Carian qari dan qariah Daerah Tutong

Carian qari dan qariah Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 Okt – Lapan peserta lelaki dan seorang peserta perempuan telah memperdengarkan bacaan masing-masing dalam Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Zon dan Daerah Bagi Tahun 1436H/2015M yang diadakan di Masjid Kampung Telisai, Tutong, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit yang juga selaku Penghulu Mukim Telisai.

Juga hadir ialah pegawai kanan dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, ibu bapa peserta, jemaah dan penduduk kampung yang tinggal di sekitarnya.

Pertandingan tahunan ini dikendalikan oleh Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid cawangan Daerah Tutong dan ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Telisai, Tutong.

Yang Berhormat Haji Ramli menyampaikan hadiah kepada para peserta yang berjaya mara ke Peringkat Suku Akhir Peringkat Kebangsaan.
Yang Berhormat Haji Ramli menyampaikan hadiah kepada para peserta yang berjaya mara ke Peringkat Suku Akhir Peringkat Kebangsaan.

Ia diadakan untuk memilih qari dan qariah, yang memperoleh markah 75 peratus ke atas, bagi mewakili Daerah Tutong ke Peringkat Suku Akhir Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan nanti.

Di samping itu, ia juga merupakan galakan untuk menarik minat orang ramai dalam meningkatkan mutu bacaan Al-Quran, selain pendorong kepada mereka yang berbakat di dalam seni pembacaan Al-Quran agar mengasah bakat yang ada.

Peserta-peserta yang berjaya memasuki ke peringkat suku akhir ialah Haji Masri bin Haji Mohamad, Haji Hirulizam@ Haji Khairulizam bin Haji Jefrey, Awang Razali bin Ibrahim, Haji Mahari bin Haji Metussin, Haji Julaidi bin Haji Baha, Haji Mohd Azrin bin Haji Metussin dan peserta perempuan, Dayang Noraidah binti Haji Mohd Said.

ARTIKEL YANG SAMA