Carlo enggan Lewnadowski tinggalkan Jerman

Carlo enggan Lewnadowski tinggalkan Jerman

MUNICH, Jerman, 21 Julai – Jurulatih baru pasukan Bayern Munich, Carlo Ancelotti semalam menegaskan dia tidak akan membenarkan pemain penyerang utama, Robert Lewnadowski untuk meninggalkan juara Jerman itu untuk ke Real Madrid.

Ancelotti dari Itali, yang membimbing Real memenangi mahkota Eropah ke-10 pada 2014, mengambil alih kendalian di Allianz Arena dari Pep Guardiola, yang berlepas ke Manchester City, pada akhir musim lalu.

Laporan media bulan lalu menyatakan bahawa Lewandowski, yang juga penjaring terbanyak Bundesliga dalam dua dari tiga musim lalu, yang hampir berpindah ke ibu negara Sepanyol, tetapi Ancelotti merasa yakin untuk mengekalkan pemain dari Poland itu di Bavaria.

“Real Madrid memiliki ramai pemain yang luar biasa, termasuk (Karim) Benzema, (Gareth) Bale dan Cristiano Rolnaldi, Real tidak memerlukan Lewandowski,” Ancelotti memberitahu harian Jerman, Sportbild.

“Dan walaupun mereka berjaya, Bayern tidak akan menjual Lewandowski. Mengapa seharusnya kami melepaskan salah seorang pemain penyerang terbaik dalam dunia?”

Bayern menghadapi Real Madrid dalam satu perlawanan persahabatan di AS pada 4 Ogos.

Ancelotti, 57, yang memenangi tiga gelaran Liga Juara–Juara sebagai jurulatih, juga mendedahkan sebahagian dari cara latihannya.

Dia memberikan pemain-pemainnya markah dari 10 selepas setiap sesi latihan, tetapi merahsiakannya.

“Saya meletakkan harapan terhadap pemain–pemain saya,’ tambahnya.

‘Selepas setiap perlawanan saya akan mencatatkannya. Ini adalah kedudukan secara peribadi saya, di mana tiada tindak balas akan diberikan, termasuk bagi pemain.” – AFP