Carneiro kemukakan notis pampasan

Carneiro kemukakan notis pampasan

LONDON, 30 Okt (Agensi) – Peguam kepada bekas doktor skuad Chelsea, Eva Carneiro menyerahkan notis kepada kelab tersebut bahawa wanita itu berhasrat mendapatkan pampasan berhubung pemberhentian tugasnya.

Difahamkan kertas tuntutan itu telah diserahkan kepada Chelsea pada minggu ini.

Kes tersebut akan mencetuskan tribunal pekerjaan kecuali penyelesaian di luar mahkamah boleh dicapai sebelum perbicaraan dimulakan.

Peguam Carneiro menyerahkan kertas tuntutan tersebut selepas gagal mencari jalan penyelesaian dengan Chelsea setakat ini.

Tempoh tiga bulan notis tuntutan tersebut akan berakhir pada 8 November ini.

Gambar fail menunjukkan Eva Carneiro ketika memberikan rawatan kepada pemain Chelsea, Gary Cahill. – AFP
Gambar fail menunjukkan Eva Carneiro ketika memberikan rawatan kepada pemain Chelsea, Gary Cahill. – AFP

Satu prosiding tribunal pekerjaan akan diadakan di khalayak ramai dan boleh menjejaskan nama baik kelab tersebut.

Oleh itu, kebanyakan kes seperti ini sering diselesaikan di luar mahkamah.

Terdahulu, Chelsea berkata mereka tidak boleh memberikan sebarang komen berhubung perkara membabitkan urusan dalaman kakitangannya.

Carneiro digugurkan daripada tugasnya bersama skuad utama pada 8 Ogos selepas beliau dan pakar fisioterapi, John Fearn dikritik pengurus Jose Mourinho kerana bergegas turun padang untuk memberikan rawatan kepada Eden Hazard.

Pemain itu terpaksa meninggalkan padang buat seketika menyebabkan Chelsea beraksi dengan hanya sembilan pemain.