Carrard ketua reformasi FIFA

Carrard ketua reformasi FIFA

PARIS, 12 Ogos – Semalam FIFA telah melantik peguam Switzerland Francois Carrard, yang membantu memulihkan kredibiliti Olimpik selepas skandal Salt Lake City, untuk memimpin Jawatankuasa Pembaharuan badan bola sepak dunia itu.

Carrard, 77, sebelum ini pernah memimpin Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa melalui pembaharuan urus tadbir sendiri selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk 2002 dilanda skandal rasuah.

FIFA kini merasai bahang kemelut rasuah sendiri selepas tujuh pegawai bola sepak ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel di Zurich pada malam menjelang kongres FIFA Mei lalu.

“Adalah penting untuk masa depan bola sepak global mengembalikan integriti dan reputasi badan pentadbirannya,” kata Carrard. “Ia adalah satu krisis yang amat penting dan tak ubah seperti apa yang saya hadapi di IOC antara 1998 hingga 2000,” beliau bercakap semasa tele-persidangan.

“Sekali lagi kita berdepan tuduhan rasuah, pembaharuan struktur perlu dipulihkan dan perlu jauh daripada gangguan dunia politik dan penaja.

Carrard dilantik untuk memimpin Jawatankuasa Pembaharuan FIFA selepas badan dunia itu diselubungi skandal rasuah. – AFP
Carrard dilantik untuk memimpin Jawatankuasa Pembaharuan FIFA selepas badan dunia itu diselubungi skandal rasuah. – AFP

“Terdapat persamaan (dengan Sukan Olimpik), walaupun jika keadaannya berbeza dan dunia telah berubah sejak 15 tahun yang lalu.”

Katanya, beliau menerima panggilan untuk membantu FIFA kerana menganggap mencari pembaharuan yang boleh diterima semua amat penting untuk memulihkan kredibiliti FIFA. “Saya ada pengalaman menguruskan krisis sukan,” katanya.

Carrard dilantik selepas perundingan dengan enam Konfederasi bola sepak dan dia akan dibantu oleh dua orang wakil daripada setiap konfederasi.

“Sebagai pengerusi bebas, saya komited untuk menyampaikan pakej pembaharuan yang perlu dan boleh dipercayai, bekerja dengan wakil-wakil dari dalam bola sepak dan masyarakat yang lebih luas.

“Untuk itu, saya akan menubuhkan lembaga penasihat bebas yang terdiri daripada wakil-wakil dari bola sepak di luar untuk menyokong kerja-kerja jawatankuasa dan menyediakan lapisan tambahan kepakaran bebas.”

Jawatankuasa Pembaharuan akan menyediakan kemas kini kepada Jawatankuasa Eksekutif FIFA pada mesyuarat suku tahunan tetap pada 24 hingga 25 September ini, FIFA berkata dalam satu kenyataan.

Putera Ali al-Hussein dari Jordan menyokong usaha pembaharuan FIFA tetapi bukan di bawah Sepp Blatter dan beliau seharusnya membiarkan pemimpin dari luar sukan itu mengendalikan pemilihan akan datang bagi memulihkan imej badan induk bola sepak itu yang dicemari skandal. – AFP