Carrier, Trump janji kekal pekerjaan di Indiana

Carrier, Trump janji kekal pekerjaan di Indiana

WASHINGTON, 30 Nov – Syarikat penyaman udara Carrier Corp berkata semalam ia telah mencapai satu perjanjian dengan Presiden dipilih Donald Trump untuk mengekal hampir 1,000 pekerjaan di Indiana. Trump dan Naib Presiden dipilih Mike Pence merancang berkunjung ke negeri itu esok untuk mengumumkan perjanjian bersama pegawai syarikat.

Trump mengesahkan pertemuan tersebut di Twitter lewat semalam, menjanjikan satu “perjanjian yang hebat untuk pekerja.”

Trump menghabiskan kebanyakan kempennya berjanji akan mengekal syarikat seperti Carrier daripada memindah pekerjaan ke luar negara. Tumpuannya pada pekerjaan pengeluaran menyumbang kepada tarikannya dengan pengundi kelas pekerja di negeri seperti Michigan, yang telah lama mengundi untuk Demokrat dalam pilihan raya presiden.

Butir-butir perjanjian adalah tidak jelas. Carrier menulis dalam Twitter bahawa syarikat “berasa gembira kerana telah mencapai satu perjanjian” dengan Trump dan Pence untuk mengekal pekerjaan di Indianapolis.

Seorang pegawai peralihan mengesahkan presiden dipilih dan Pence, yang menamatkan penggalnya sebagai gabenor Indiana, akan hadir bersama pegawai Carrier esok. Pegawai itu meminta namanya tidak disiarkan kerana pegawai berkenaan tidak dibenarkan membincang lawatan sebelum pengumuman rasmi.

Trump berkata pada minggu lalu beliau sedang “mencatat kemajuan” dalam usaha memujuk Carrier untuk kekal di Indiana.

Pada Februari, Carrier berkata ia akan menutup kilangnya di Indianapolis yang menggaji 1,400 pekerja dan memindah pengeluarannya ke Mexico. Pekerja kilang akan dibuang dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2017.

United Technologies Electronic Controls juga mengumumkan pada masa itu ia merancang memindah operasi pengeluaran Huntington ke sebuah kilang baru di Mexico, menyebabkan bandar Indiana di timur laut kehilangan 700 pekerjaan pada 2018. Pekerja berkenaan mengeluarkan kawalan berasaskan mikropemprosesan untuk HVAC dan industri penyejukan.

Carrier dan UTEC adalah unit Hartford, United Technologies Corp yang berpangkalan di Connecticut, yang juga memiliki Pratt & Whitney, pembekal besar enjin jet pejuang yang bergantung sebahagiannya pada kontrak tentera AS. – AP

ARTIKEL YANG SAMA