CAS tentukan nasib 68 atlet Russia

CAS tentukan nasib 68 atlet Russia

LAUSANNE, 21 Julai – Penyertaan 68 atlet olahraga Russia ke sukan Olimpik Rio bulan depan bakal ditentukan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) lewat hari ini.

Atlet Russia berkenaan masih ada sedikit peluang ke Rio selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membuat keputusan untuk menyerahkan kepada CAS sama ada membenarkan penyertaan atlet olahraga Russia ke temasya Olimpik di Rio.

Sebelum ini eksekutif tertinggi IOC menggesa atlet berkenaan diharamkan terus daripada bertanding di olimpik Rio angkara skandal doping yang didakwa dilindungi kerajaan terdedah dalam satu laporan dikeluarkan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA), kelmarin.

IOC Selasa lalu mengesahkan pihaknya perlu mengkaji segala keperluan undang-undang sebelum mengenakan tindakan mengharamkan terus atlet Russia mengambil bahagian di Sukan Olimpik Rio kerana ia bakal menjadi keputusan bersejarah bagi Olimpik.

Meskipun tekanan makin hebat mendesak Russia diharamkan ke Rio, namun bos IOC, Thomas Bach mengakui dia memerlukan masa seminggu lagi untuk membuat keputusan muktamad sama ada mengharamkan terus penyertaan atlet olahraga Russia ke temasya berkenaan.

Setakat ini, IOC sudah melarang Menteri Sukan Russia, Vitaly Mutko iaitu sekutu kuat Presiden Vladimir Putin – serta beberapa pegawai rasmi kementeriannya daripada hadir ke acara rasmi di Rio nanti selain menarik semula sokongan penganjuran sukan utama anjuran Russia termasuk kejohanan bola sepak Piala Dunia. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA