CAS tidak boleh campur tangan

CAS tidak boleh campur tangan

MADRID, 5 Nov (Reuters) – Penunggang Yamaha Jorge Lorenzo dimaklumkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bahawa ia tidak boleh campur tangan dalam usaha membatalkan hukuman dikenakan terhadap pesaing utama serta rakan sepasukannya Valentino Rossi pada perlumbaan yang akan menentukan siapakah muncul juara dunia MotoGP di Valencia hujung minggu ini.

Pendahulu Rossi mengharapkan penalti dikenakan terhadapnya selepas didakwa sengaja menendang juara bertahan dari Honda Marc Marquez hingga menyebabkan pelumba Sepanyol itu terjatuh di Malaysia hujung minggu lalu ditarik balik bagi membolehkan perlumbaan dijalankan secara lebih adil.

Jika tidak, juara dunia sembilan kali itu perlu memulakan perlumbaan terakhir musim ini dari petak belakang di negara kelahiran Lorenzo itu.

Rossi mendahului pelumba Sepanyol itu yang sedang memburu kejuaraan ketiga, dengan tujuh mata. Kedua-duanya adalah pelumba yang mampu menjuarai gelaran dunia musim ini.

Insiden di Malaysia tersebut mencetus antara kontroversi terbesar dalam sukan itu sambil menambah rencah pertelingkahan antara Rossi dan Marquez manakala Yamaha dan Honda pula tampil mempertahankan pelumba masing-masing.Perbalahan itu turut membabitkan negara, dengan media Itali saling ‘berperang’ dengan media Sepanyol turut meluahkan kebimbangan berhubung insiden lebih buruk mungkin berlaku jika Rossi dibenarkan berlumba di Sepanyol.

Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) berkata, situasi itu ‘meracun’ arena sukan motosikal dan merancang mengadakan sidang media khas berhubung pra-perlumbaan di Valencia sebelum bermesyuarat dengan pelumba termasuk pegawai pasukan.

Lorenzo yang peluangnya kelihatan cerah jika Rossi bermula dari petak belakang, sudah meminta kebenaran untuk menyertai perbicaraan CAS tetapi mahkamah enggan membenarkan permohonan itu.

“Perbicaraan CAS akan diteruskan antara Valentino Rossi dan FIM saja,” kata CAS dalam satu kenyataan.

Penalti dikenakan selepas pegawai perlumbaan di Sepang mendakwa Rossi sengaja menyebabkan Marquez terbabit kemalangan dan ia mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat MotoGP.