Casillas: de Gea bakal ganti tempat saya

Casillas: de Gea bakal ganti tempat saya

MADRID, 7 Jun – Kapten skuad Sepanyol, Iker Casillas percaya David de Gea bukan lagi prospek masa depan tetapi bakal menjadi pilihan utama untuk mengawal gawang pasukan kebangsaan di Euro 2016.

Casillas yang kini bersama Porto sudah menjadi penjaga gol utama Sepanyol sejak 2002 namun mungkin kehilangan kedudukan itu selepas De Gea dianggap sebagai calon kegemaran untuk diturunkan berikutan persembahan cemerlangnya di Manchester United.

“De Gea bukan lagi masa depan tetapi calon pilihan,” kata Casillas kepada radio Cadena Cope.

“Ia jelas sekali setiap daripada kami yang berada di sini, kami fikir mampu bermain.

“Kami terdiri daripada 23 pemain yang memainkan watak penting di peringkat kelab dan kami percaya mampu membantu pasukan kebangsaan tetapi tugas menentukan siapa yang akan diturunkan adalah kerja jurulatih.”

Iker Casillas ketika berada dalam kem latihan bersama Sepanyol. – AFP
Iker Casillas ketika berada dalam kem latihan bersama Sepanyol. – AFP

Pengendali Sepanyol, Vicente del Bosque tidak akan membuat keputusan pemain mana yang beraksi sehingga 13 Jun ini, apabila pasukannya memulakan kempen Kejohanan Eropah menentang Republik Czech di Toulouse.

Del Bosque sebelum ini mengesahkan bahawa de Gea akan diberi kepercayaan menggalas tugas mengawal gawang menentang Georgia dalam aksi pemanas badan di Getafe, malam ini.

Ini kerana Casillas sudah dibawa masuk untuk pertembungan dengan Korea Selatan minggu lalu yang berakhir dengan keputusan memihak 6-1 kepada Sepanyol.

De Gea, 25, membuat penampilan pertamanya pada Jun 2014 dalam perlawanan persahabatan dan disenaraikan untuk skuad Piala Dunia 2014 tetapi tidak diturunkan.

Setakat ini, dia sudah membuat lapan penampilan untuk Sepanyol tetapi hanya dibawa masuk sebagai pemain utama dalam tiga aksi Kelayakan Euro 2016, dengan Casillas kekal menjadi pilihan nombor satu. – Agensi