Casillas terima tawaran FC Porto

Casillas terima tawaran FC Porto

MADRID, 8 Julai (AFP) – Penjaga gol dan ketua pasukan Real Madrid Iker Casillas telah menerima tawaran daripada pasukan Portugis FC Porto, akhbar harian sukan Sepanyol Marca memetik ejennya sebagai berkata semalam.

“Satu tawaran datang dari Porto dan Casillas teruja dengan kemungkinan itu. Sekarang kita perlu menunggu untuk melihat apa kata Real Madrid,” kata ejen Casillas Carlo Cutropia menurut akhbar itu.

Real Madrid dilaporkan cuba untuk menandatangani penjaga gol Manchester United David de Gea untuk kelab dan mahu Casillas pergi untuk mengelak kontroversi pemain mana yang harus diturunkan.

Casillas, 34, masih ada baki dua tahun kontrak dengan Real Madrid dan, menurut Marca, Real Madrid bersedia untuk membenarkan pemain itu pergi sebagai ejen bebas supaya dia boleh menandatangani perjanjian dua tahun dengan Porto.

Iker Casillas dilaporkan sudah menerima tawaran daripada pasukan FC Porto. – AFP
Iker Casillas dilaporkan sudah menerima tawaran daripada pasukan FC Porto. – AFP

Porto yang dibimbing oleh bekas penjaga gol Sepanyol dan Real Madrid, Julen Lopetegui, akan bersaing dalam pusingan Liga Juara-Juara seterusnya selepas selesai naib juara kepada Benfica dalam La Liga musim 2014-15.

Lopetugui sudah mempunyai enam pemain Sepanyol dalam skuad dengan kedua-dua pembantu beliau juga dari Sepanyol.

Pemenang Piala Dunia dan dua kali juara Eropah bersama Sepanyol itu telah merangkul lima gelaran divisyen satu, tiga trofi Liga Juara-Juara dan dua mahkota Piala Raja sejak membuat penampilan pertama bersama pasukan utama Real Madrid pada 1999.