Cataldi bawa Lazio ke suku akhir

Cataldi bawa Lazio ke suku akhir

MILAN, 18 Dis (AFP) – Pasukan bergelut di Serie A, Lazio bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Udinese 2-1 awal pagi tadi, sekali gus menempah tiket ke suku akhir Piala Itali bertemu juara bertahan, Juventus.

Lazio terlebih dahulu ketinggalan selepas Panagiotis Kone membuka jaringan untuk Udinese pada minit ke-67 sebelum Alessandro Matri menyamakan kedudukan tiga minit berselang walaupun dilihat berada pada kedudukan ofsaid, dan Danilo Cataldi menanduk masuk gol kemenangan buat Lazio pada minit ke-79.

Saingan di suku akhir bakal menjanjikan aksi menarik apabila Napoli bakal bertemu Inter Milan selepas pasukan itu menewaskan Verona, semalam.

Namun, dua gergasi Serie A terlepas slot ke suku akhir tahun ini selepas Roma dan Fiorentina tewas pada lawan masing-masing.

Roma tewas menerusi penentuan penalti dengan keputusan 4-2 menentang Spezia selepas buntu mencari gol kemenangan pada aksi 120 minit di Stadio Olimpico.

Fiorentina pula diaibkan pasukan di zon penyingkiran, Carpi apabila Antonia Di Gaudio menyumbat gol kemenangan pasukan itu pada minit ke-76.

Sementara itu, M’Baye Niang dan Carlos Bacca menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk AC Milan menyingkirkan Sampdoria dengan keputusan 2-1 di Genoa.

Penyerang Perancis itu menjaringkan gol lima minit selepas separuh masa kedua bermula dan Bacca meledak gol pada masa tambahan untuk pasukan pelawat mara ke suku akhir bertemu Carpi.

ARTIKEL YANG SAMA