Catat peningk...

Catat peningkatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Dengan usaha berterusan para pelajar, komitmen guru-guru dan kakitangan serta sokongan dan kerjasama erat daripada para ibu bapa, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) mencatatkan peningkatan peratus lulus dalam Peperiksaan Brunei Cambridge GCE ‘O’ Level 2016 yang amat membanggakan sebanyak 11.34 peratus di mana 69.23 peratus pelajar sekolah berkenaan mencatatkan sekurang-kurangnya 5 ‘O’ Level pada 2016 berbanding dengan 57.89 peratus pada 2015.

Daripada seramai 78 orang pelajar yang menduduki peperiksaan itu, sekolah berkenaan mencatatkan seramai 13 orang pelajar mendapat 9 ‘O’ Level, 11 orang mendapat 8 ‘O’ Level, 12 orang mendapat 7 ‘O’ Level dan enam orang mendapat 5 ‘O’ Level.

Selain daripada itu, SM YSHHB juga mencatatkan peningkatan daripada segi ranking dalam kalangan sekolah swasta di mana sekolah itu pada 2016 berada di ranking ke-5 daripada 12 buah sekolah swasta iaitu meningkat sebanyak tiga tempat daripada ranking ke-8 pada 2015.

Pencapaian dan peningkatan yang amat membanggakan itu dikongsi oleh Pengetua SM YSHHB, Chong Li Chen dalam temu bual bersama Media Permata di sekolah berkenaan, hari ini.

Beliau juga berkata bahawa seramai empat orang pelajar penerima dermasiswa di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) YSHHB merupakan di antara pelajar yang menunjukkan pencapaian baik dalam peperiksaan berkenaan di mana mereka mendapat sekurang-kurangnya enam hingga sembilan kredit.

Chong Li Chen menyatakan SM YSHHB mencatatkan pencapaian keputusan Peperiksaan BCGCE ‘O’ Level yang lebih baik bagi 2016 jika dibandingkan dengan 2015.
Chong Li Chen menyatakan SM YSHHB mencatatkan pencapaian keputusan Peperiksaan BCGCE ‘O’ Level yang lebih baik bagi 2016 jika dibandingkan dengan 2015.

Chong turut menyatakan bahawa dari segi peningkatan peratus mata pelajaran dalam peperiksaan 2016 berkenaan jika dibandingkan dengan pencapaian pada 2015, beberapa mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan amat baik adalah Matematik yang meningkat daripada 47.95 peratus ke 70.13 peratus, History daripada 19.05 peratus kepada 40 peratus, Computer Science daripada 50 peratus kepada 64.71 peratus, Commerce daripada 20 peratus kepada 42.31 peratus dan Combined Science daripada 10 peratus kepada 38.46 peratus.

Peningkatan dalam keputusan itu, ulasnya, hasil daripada dedikasi dan usaha para pelajar serta guru-guru sekolah berkenaan di mana sekolah itu melaksanakan PIP atau kelas tambahan bagi para pelajar yang memerlukan bantuan tambahan.

Sementara itu, Chong Li Chen turut berkata bahawa sekolah itu bukan sahaja memberikan penekanan kepada kecemerlangan akademik sahaja tetapi juga memberi keutamaan kepada pembinaan kemahiran kepimpinan para pelajar.

Dalam hubungan itu, sekolah berkenaan telah melaksanakan beberapa program baru termasuk Program Pengayaan ACE (Aspire, Challenge, Excellence) dan di samping itu, sekolah itu buat kali pertama pada 2016 juga telah menganjurkan kem motivasi yang dikenali sebagai ‘Kem KITANI’ sebagai tanda komitmen untuk membantu pembangunan perwatakan pelajar sekolah yang merupakan salah satu bahagian utama dalam program sekolah itu.

Selain daripada itu, pihak sekolah, ulasnya, telah menubuhkan hubungan dengan sekolah-sekolah dari luar negara di mana para pelajar SM YSHHB telah berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai program antarabangsa seperti Seminar Y.LEAD di Singapura, Forum Pelajar Sekolah Tinggi Asian Oceanian di Wakayama, Jepun dan Program Inap Desa, Pertukaran Pendidikan dan Kebudayaan Antarabangsa Wakayama.

Pada 2016 turut menyaksikan SM YSHHB secara formal menubuhkan hubungan dengan Sekolah Tinggi River Valley, Singapura di mana pertukaran lawatan akan dilaksanakan di antara kedua-dua buah sekolah berkenaan untuk merangka program komprehensif yang membawa manfaat kepada kedua-dua buah sekolah.

Penubuhan hubungan antarabangsa itu bermatlamat untuk meningkatkan lagi pendedahan sekolah kepada program-program antarabangsa, meningkatkan kesedaran serta minat dalam budaya dan perspektif pendidikan negara-negara luar.

Chong Li Chen menyatakan penghargaan kepada semua guru di atas komitmen dan usaha mereka dalam memastikan bahawa pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara efisien serta efektif.

Beliau juga amat menghargai sokongan berterusan mereka dalam kejayaan pelaksanaan kesemua program sekolah berkenaan.

Beliau juga berkata sokongan ibu bapa adalah tidak kurang pentingnya dalam memastikan kejayaan berterusan akademik anak-anak mereka dan berharap Persatuan Ibu bapa dan Guru sekolah itu akan terus meningkatkan kerjasama serta mengeratkan lagi hubungan dalam sama-sama memeduli pendidikan anak serta pelajar sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk terus bekerjasama dengan semua pihak yang berkepentingan dengan hasrat untuk membawa SM YSHHB ke peringkat yang lebih tinggi dan akan terus merangka strategi yang lebih baik supaya akan dapat menjana keputusan ‘O’ Level yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang.