Catur Amatur Asia bermula

Catur Amatur Asia bermula

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Persekutuan Catur Brunei Darussalam (BCF) membariskan 25 pemain untuk menyertai Kejohanan Catur Amatur Asia VI yang akan bermula hari ini sehingga 13 September 2015 nanti.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis di The Orchid Garden Hotel di Berakas sekali gus merasmikan kejohanan hari ini ialah Pengarah Belia dan Sukan, Haji Abdul Malik bin Haji Mohammad yang dialu-alukan oleh Presiden BCF, Zainal Abiddin Ali.

Daripada jumlah itu, 13 orang adalah pemain berpengalaman antaranya Zukernain Abidin, Siti Nur Fatiman Haji Azahari, Pengiran Haji Mohd Limbang Pengiran Wijaya, Mohd Aliuddin Haji Azahari, Pengiran Abdul Rahman Yussof, Zain Izzuddin, Kamarunsalehin Kamis, Haji Abdul Rahman Haji Metahir, Pengiran Khashiem Pengiran Hassan, Syairazi Suni, Zulkifli Pehin Salleh, Japar Timbang dan Haji Kipli Haji Mahrub.

Selain itu, BCF turut membariskan 12 pemain baru antaranya Haji Mohd Nassir Ahmad, Lathif Akmal, Ali Haji Ibrahim, Muhamad Saruddin bin Haji Jumarali, Matnor bin Haji Mohd Said, Pengiran Abu Bakar Ibrahim, Bujang Izan, Kamarul Ariffin bin Haji Kipli, Mohd Shahrul Nazrul Muhammad, Haji Hishamuddin Muhd Fariz Hazwan, Alif Shamari Akmal Samsul dan Shawal Sharikhan.

Kejohanan kali ini dianjurkan BCF dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Persekutuan Catur Asia yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$6,000.

Suasana di The Orchid Garden Hotel yang menjadi venue Kejohanan Catur Amatur Asia 2015.
Suasana di The Orchid Garden Hotel yang menjadi venue Kejohanan Catur Amatur Asia 2015.
Peserta Brunei dan Malaysia berentap dalam kejohanan Catur Amatur Asia semalam.
Peserta Brunei dan Malaysia berentap dalam kejohanan Catur Amatur Asia semalam.

Kejohanan ini dijalankan dengan format peraturan Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) dan akan dimainkan mengikuti sistem Swiss sebanyak sembilan pusingan dengan masa 90 minit bagi setiap permainan dan tambahan 30 saat bagi setiap gerakan.

Pusingan pertama dan kedua berlangsung hari ini dan pusingan ketiga dan keempat pada 8 September, pusingan kelima dan keenam pada 9 September, dan pusingan ketujuh dan kelapan pada 10 dan 11 September ini.

Pada pusingan akhir 12 September nanti, pusingan kalah mati bagi wanita akan diadakan dan perlawanan kejohanan Asian Amateur Blitz Championship 2015 juga dilangsungkan pada hari yang sama.

Lima pemain teratas antaranya Zukkernain Abidin yang akan berhadapan pemain Indonesia, Marudut Sinaga, Siti Nur Fatimah binti Haji Azahari menentang Wei Xin Rosamund Koo (Malaysia), Pengiran Haji Limbang bin Pengiran Wijaya pula akan menentang rakan sepasukan Haji Kipli bin Haji Mahrub diikuti dengan Mohd Aliuddin bin Haji Azahari berhadapan pemain Malaysia Puteri Munajjah Az-Zahraa Azhar dan Pengiran Abdul Rahman Yussof pula menentang peserta Singapura, Kit Meng Jordan Max Chow.

Tugas berat juga dihadapi peserta negara apabila Zulkifli Pehin Salleh terpaksa berhadapan peserta Malaysia Mohd Saprin Sabri yang berada di tempat kedua mengikut kelas di belakang Stewart Manaog dari Filipina yang berada di tempat pertama dengan 2,087 mata.

Kejohanan kali ini disertai 11 buah negara dengan Brunei Darussalam menjadi tuan rumah, Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina, Singapura, Vietnam, India, Nepal, Sri Lanka dan Uzbekistan.

ARTIKEL YANG SAMA