‘Causeway Challenge’ pada 7 Oktober

‘Causeway Challenge’ pada 7 Oktober

SINGAPURA, 18 Ogos – Skuad Lions Singapura sedia untuk berdepan Harimau Malaysia dalam perlawanan bola sepak ‘Causeway Challenge’ di Stadium Nasional di sini pada 7 Okt sebagai sebahagian daripada persediaan bagi kejohanan hujung tahun Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki, menurut laporan TODAYonline.com pada Rabu.

“Singapura dan Malaysia menjalin hubungan kerjasama yang akrab dan kerjasama erat dalam banyak bidang, termasuk sukan,” Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura Lim Kia Tong dipetik sebagai berkata.

“Keindahan permainan bola sepak telah dan akan terus menjadi pentas yang amat substantif dalam memperteguhkan lagi kerjasama baik ini. Perlawanan bola sepak antara kedua-dua negara sentiasa istimewa kepada peminat dan pemain,” kata Lim.

Menurut portal berita itu kali terakhir Singapura menentang Malaysia dalam kejohanan Piala AFF Suzuki adalah pada November 2014 di Stadium Nasional dengan kemenangan berpihak kepada Malaysia 3-1.

Causeway Challenge, perlawanan ke-65 bagi kedua-dua pasukan, diadakan enam minggu menjelang Kejohanan Piala AFF Suzuki yang bermula pada 19 Nov. Pasukan Lions berada pada ranking ke-159 FIFA manakala Harimau Malaysia pula 167.

Sungguhpun demikian, berdasarkan rekod, Malaysia menang 22 kali dan Singapura 19 kali. Kedua-dua pasukan pernah seri 23 kali.

“Kedua-dua negara berkongsi ikatan yang unik dan hubungan sejarah yang lama terjalin, justeru perlawanan antara Singapura dan Malaysia seringkali menarik kedatangan beribu-ribu peminat ke stadium,” naib kapten Lions Harris Harun dipetik sebagai berkata.

“Oleh itu, pasukan Lions kita – termasuk beberapa orang yang akan beraksi buat kali pertama dalam Causeway Challenge – ternanti-nantikan dengan penuh teruja perlawanan Singapura menentang Malaysia,” katanya.

Peminat Lions dan Harimau Malaysia boleh melayari www.sportshubtix.sg untuk maklumat berkaitan tiket. – Bernama