Cavani terus menyengat

Cavani terus menyengat

PARIS, 16 Okt – Penyerang Uruguay, Edinson Cavani sekali lagi menjaringkan gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) mengatasi pasukan bergelut dalam Ligue 1, Nancy 2-1 awal pagi tadi sekali gus mara ke tangga kedua liga.

Sepakan percuma Lucas memberikan juara bertahan itu gol pendahuluan pada minit ke-13 di Stade Marcel-Picot diikuti jaringan Cavani lima minit selepas itu untuk menyumbang jaringan kesembilannya musim ini.

Bekas pemain tengah Perancis, Alou Diarra cuba mencetuskan kebangkitan Nancy menerusi jaringan pada minit ke-55 apabila pemain berusia 35 tahun itu tampil kali pertama untuk kelab kelapan diwakilinya dalam liga utama Perancis itu.

Aksi Cavani ketika mengawal bola pada perlawanan Ligue 1 menentang Nancy di Stadium Marcel Picot kelmarin. – AFP
Aksi Cavani ketika mengawal bola pada perlawanan Ligue 1 menentang Nancy di Stadium Marcel Picot kelmarin. – AFP

Susulan kemenangan itu, PSG naik mengatasi Monaco menerusi perbezaan gol namun skuad kendalian Unai Emery masih di belakang pendahulu liga Nice dengan empat mata menjelang pertemuan Ahad depan menentang pencabar utama Marseille.

“(Nancy) memerlukan kemenangan dan sangat bermotivasi ketika menentang kami.”

“Kami bermain sebagai satu unit, dan perlawanan itu memerlukan banyak usaha bertahan untuk menyekat lawan kami. Kami tidak melakukan semuanya dengan baik tetapi kami bagus di bahagian pertahanan.”

“Ketika ini jelas Nice sangat kuat, tapi kami akan cuba mencari jalan dan kita akan lihat seterusnya,” kata Emery. – AFP